Ratapan November ~ Gelisah Disember, 2013
"Beberapa orang polis terguling... polis ajak guling," kata Arif. Saya cuma ketawa mendengar isi cerita. Itu antara serpihan kisah-kisah muhasabah selepas tamatnya 'penggulingan' pada malam ini.
Saya, Arif dan TMJ percaya bahawa Umno akan garu-garu kepala untuk tipu rakyat lagi mengenai himpunan TURUN kali ini. Walaupun saya seorang pengguling, tapi masa untuk mengguling ini belum sampai lagi. Huh!
Pulang daripada Dataran Merdeka, saya menonton filem Limitless di TV2. Heroinnya bernama Lindy (Abbie Cornish) dan Melissa (Anna Friel).
Tetapi, saya tak boleh beri tumpuan sebab Alo minta saya siapkan tugasan. Tugasan itu, berkaitan laporan di Dataran Merdeka malam ini. Entahlah... apakah saya boleh pulang ke kampung atau tidak pada esok hari?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
27 Safar, 1435 | 30 Disember, 2013
Selepas Subuh, saya terfikir erti sejati kesucian Allah s.w.t. Iaitu, kesucian-Nya itu adalah kesucian daripada pencemaran sifat-sifat yang lari daripada hebahan sifat-sifat-Nya seperti yang di rakam lewat surah al-Ikhlas.
Selepas Maghrib saya dapat 'wahyu' mengenai betapa perlunya diwujudkan sebuah jabatan dan fakulti yang khusus diwujudkan demi mengajar ilmu-ilmu yang diperolehi daripada kitab-kitab Turath.
Malam ini menyemak William Shakepeare... Kemungkinan Shakespeare bukanlah pengarang drama. Tetapi, orang lain yang terlibat dalam usaha pembikinan segala drama pementasan ini.
Anonymous
Malam ini menyemak Apa Kata Hati. Lambang cinta dilambangkan kepada KLCC. Ia seperti Taj Mahal itu yang dibangunkan oleh seorang raja yang zalim bagi menunjukkan rasa cintanya kepada Mumtaz Mahal.
Pembinaan Taj Mahal itu menggunakan duit rakyat dan mengabaikan tuntutan rakyat selama ini. Kita perlulah sedarkan lebih ramai pasangan yang sedang hangat bercinta mengenai keburukan menisbahkan cinta mereka kepada KLCC yang dibangga-banggakan sangat dengan Dr Mahathir itu.
Satu hal yang saya rasa perlu dielakkan oleh Eli (Raja Farah) adalah sikap suka menenung nasibnya dengan bantuan horoskop. Hal ini bertentangan dengan syariat agama Islam. Nampaknya, jemaah Islam perlu kuasai ilmu perwayangan seperti mana Wali Songo berdakwah dengan menggunakan wayang kulit di Tanah Jawa!
Apa Kata Hati
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
24 Safar, 1435 | 27 Disember, 2013
Malam ini, ke KLSCAH dan bertemu ramai revolusioner media. Saya bersama Arif Jue, Arif menaiki kereta bersama Alo. Yang agak lantang bercakap adalah Hatta Wahari yang pernah dibuang oleh Utusan Malaysia.
Dia cadangkan agar dilonggokkan akhbar The Heat di depan bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Selain itu, kata beliau, wajah Zahid Hamidi boleh dilukis di jalan raya yang berlubang.
"Jika ada orang tanya ini wajah siapa, maka kita berkata inilah wajahnya orang yang memandulkan akhbar di Malaysia," kata Hatta bersemangat. Saya tak ikuti sampai habis. Tetapi kedua-dua Arif bersama Wan Zahari telah mengesahkan bahawa ~ Hatta bercakap penuh sebak, hampir menangis dan beremosi jua.
Pulang ke pejabat, singgah minum-minum di Rafiya. Dalam bualan itu, Alo berkata, kebanyakan panel adalah wakil media online, dan bukan wakil akhbar yang selalu diburu KDN atas masalah permit penerbitan.
"Kita kena buat satu lagi forum kalau macam ni," kata Alo kepada kami. "Kali ini kat Klscah juga."
Masuk pejabat, saya lihat isu Mulan disebutkan di FB. Ada kemungkinan Mulan adalah watak Siti Zubaidah. Hal ini dibangkit Saifuddin setelah dibacanya tulisan saya di Harakah ~~ 'Antara kemuliaan Siti Zubaidah dan kehinaan 'Siti' Najib.'
Saya fikir, kemungkinan The Ballad of Mulan itu terjemahan daripada Syair Siti Zubaidah Perang China.
Wallahu Ta'ala 'Alamu Bissawaab...
Berikut antara pautan yang boleh disemak bagi mengkaji perkaitan hubungan antara Siti Zubaidah ~ Mulan.
http://en.wikipedia.org/wiki/Mulan
http://en.wikipedia.org/wiki/Xiongnu
http://en.wikipedia.org/wiki/The_Ballad_of_Mulan
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
23 Safar, 1435 | 26 Disember, 2013
Naik ke pejabat, sudah mula menggunakan kipas angin (RM16) USB yang saya beli daripada Low Yatt itu. Ia lumayan bagus! Saya harap, kipas itu tidak rosak seperti kipas yang saya beli dengan harga RM12 itu.
Isu Kg Railway pecah di pejabat pada malam ini. Saya mendengar Arif bercerita mengenai hal-ehwal di desa yang didiami kelompok India yang terpinggir di ibu kota ini. Ringkasnya, semua ini gara-gara kapitalis YTL!
"Hingga jam 11 malam rumah-rumah itu masih juga dirobohkan..." berkata Arif, melaporkan berita itu daripada Cikgu Ishak Surin kepada beliau pada malam 'deadline' ini.
Saya berasa, adalah satu keperluan mendesak untuk menggiatkan kempen-kempen kesedaran bahawa yang membawa punca masalah pada hari ini adalah kapitalis YTL dengan bantuan kapitalis Umno dan BN!
Kita jangan lagi menggunakan perkataan Cina yang bawa masalah. Dan...jangan kata bahawa bukan Melayu yang membawa masalah kepada negara ini. Salah guna perkataan ini akan hanya mengundang padah.
Padah terjadi ke atas fikiran. Pemikiran akan dikelirukan. Hati dan perasaan pula akan diselubungi keraguan. Keraguan dan kekeliruan makin membuat manusia menjadi lemah dalam melawan kezaliman dan kebatilan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
20 Safar, 1435 | 23 Disember, 2013
Sibuk seperti biasa. Malam ini, menukang bahan sastera untuk Harakah. Malam ini Semerah Padi. Kata Rai, judul asalnya adalah Long Batee. Saya terserempak nama Batee Tunggai, Acheh bila buat semakan internet!
Jadi, mungkin di Batee Tunggai itu sudah tertegaknya hukum Islam di Pulau Sumatera. Menarik untuk kajian.
Arif minta saya merujuk laman Youtube berhubung klip V For Vandetta yang sudah dibuat alihbahasa secara parodi itu. Agak menarik juga. Mereka agak kreatif buat selama-lamanya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
14 Safar, 1435 | 17 Disember, 2013
Zalila kelui Blackberry saya petang ini ketika hampir tamat waktu pejabat. Beliau minta pengesahan darihal buku puisi yang mahu diterbitkan oleh ITNM itu.
"Pertamanya mengenai keselarasan nama," katanya. "Nak guna nama H Fansuri atau nama awak?"
Saya putuskan guna nama pena. Dan persoalan kedua adalah, keperluan memberitahu pihak DBP mengenai hal menyiar semula sajak-sajak saya yang pernah tersiar dalam majalah dan buku puisi Di Tengah Arus itu.
Perkara seterusnya, adakah ayat-ayat al-Quran dan nama-nama tempat yang saya tulis di dalam puisi adalah sebahagian daripada puisi? Kata Zalila, ini adalah dua hal yang perlu disemak semula.
"Nak jumpa bila-bila pun boleh," katanya lagi. "Lagi cepat, lagi bagus..."
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
13 Safar, 1435 | 16 Disember, 2013
"Enta ada bahan apa-apa ka malam ni?" bertanya Alo. Petang ini, dia baru keluar hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Saya beritahu hajat hendak mencatatkan sedikit hal-hal berkaitan Historical Fact and Fiction.
Lalu kesempatan itu membuat beliau bertanya hal-hal yang biasa beliau tanya, "Pasai pa tidak diterjemahkan buku-buku al-Attas tu?"
Soalan ini sudah malas saya hendak jawab sebenarnya kerana sudah acapkali ditanya dan berulangkali juga saya menjawabnya sebelum ini. Kalau nak dijawab pun bukanlah saya tahu sangat kenapa ia tak diterjemah?
Orang-orang yang banyak bertanya hal ini, tiada menaruh keinginan hendak ke kuliah Wise itu. Saya akan berhenti menjawab kecuali ke atas orang yang benar-benar berkehendakkan jawapan demi faedah dirinya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
10 Safar, 1435 | 13 Disember, 2013
Baru dapat cek. Fuh! Lega! Di Haslam malam ini, berfalsafah mengenai mengenai musuh. Di mana-mana pun ada musuh. Itu antara keluhan malam ini di Haslam. Antara yang hadir adalah Rauzi dan Dr Notz.
"Di laut kot, tak ada musuh," kata saya. Tiba-tiba, saya teringat bahawa di laut pun ada lanun.
"Kalau di gunung macam mana?" tanya Rauzi. Kata Notz, "Orang Asli, orang bunian kacau kita."
Kisah hendak mencari tempat terasing ini timbul sebab saya ingin mencari ketenangan daripada orang-orang yang menyesakkan fikiran. Mutakhir ini, gelagat-gelagat manusia sangatlah membosankan.
Hari ini, Alo ke Melaka untuk bercuti. Saya sarankan beliau ke Pulau Besar untuk mencari makna diri yang lebih tinggi. Tidak lama selepas itu, beliau mengirim sms mengenai makam-makam laksamana di sana.
"Makam Hang Jebat dan makam-makam semua tu real ke?" bertanya beliau. Entahlah saya jawab apa. Tapi, saya fikir, lebih baik beliau ke Masjid Kg Hulu untuk mencari makna diri di sana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
8 Safar, 1435 | 11 Disember, 2013
Hari ini, Dr Irwan merungut bahawa Fakulti Kejuruteraan di Universiti Malaya itu akan ditutup. Saya 'tag' nama Arif, agar kisah ini boleh dimasukkan dalam Dunia Kampus, Harakah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
6 Safar, 1435 | 9 Disember, 2013
Saya pergi ke Aras 10 di PNM bagi menyemak semula surat Usman Awang kepada Said Zahari. Jatuh cinta pandang kali ke-1,789 di sini, petang ini!
Petang ini ketika melewati Jalan Raja Muda Musa, dalam menuju ke PNM, tiba-tiba datang fikiran mengenai catatan seorang penulis lewat buku sejarah kompilasi Alijah Gordon mengenai 'Pase' (Pasai).
Semalam dan kelmarin, saya asyik terfikir mengenai kemungkinan Pasai (Pase) itu Pasir. Jika Pase (Pasir) itu Pasai, adakah sebab itu, maka P Ramlee menyebut Pasir Dua Butir dan Pasir Berdengung dalam Laksamana Do Re Mi?
Tjoet Nja' Dhien
Malam ini selepas 'deadline', beritahu Arif mengenai kefahaman saya, bahawa Pasai adalah Pasir. Di Haslam, bertemu Yus. Dia nampak kurus dan setelah disemak-semak rupa-rupanya beliau memang betul-betul sakit.
Inna lillah...
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
3 Safar, 1435 | 6 Disember, 2013
Makan nasi lemak di Dang Wangi, segelas kopi panas dan dua biji cucur bawang (RM4.30). Naik pejabat, bahas mengenai Teori 17 bersama Arif dan Arif Jue. Berkata Arif, sekurang-kurangnya, ada dua filem yang perlu ditonton untuk semak tentang teori yang baru saya bangkitkan itu; Knowing dan Olympus Has Fallen.
Esok, saya dijemput ke Kuantan, Pahang untuk melihat kebanjiran di negeri kelahiran Najib Razak. Mungkin saya ke benua Pontian selepas itu untuk menyemak perkembangan Rumah Freemason di Teluk Danga.
Knowing
Olympus Has Fallen
Pelabuhan Yang Hilang
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
24 Muharam, 1435 | 28 November, 2013
Akhirnya, daripada Pasir Mas, saya terus pulang ke Alur Setar, Kedah dalam perjalanan pulang ke Pendang. Sempat juga saya saksikan kemusnahan candi Lembah Bujang di Kg Bendang Dalam itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
23 Muharam, 1435 | 27 November, 2013
Mengkaji filem-filem pagi ini. Menemui keindahan-keindahan di dalamnya...
John Wayne
Salome (1953) Rita Hayworth
Salome dance Rita Hayworth
Rita Hayworth in Gilda
Petang. Ada panggilan daripada Hambali, esok pagi kena pergi ke Bachok, Kelantan. Motor pancit dan saya terus buat tubeless. Harga semuanya adalah RM276! Saya tidak tahu, apakah harganya berbaloi?
Ketika pulang dari bengkel, terjerembat kaum pelacur tua bersidai di belakang bengkel motorsikal itu. Di sini entah berapa lama mereka berdagang tubuh, tiada siapa yang tahu. Malah, tiada siapa yang peduli.
Malam ini, baru saya sedar ~ bahawa esok adalah hari kelahiran saya; 24 Muharam, 1435!
Malam ini, menonton kisah revolusioner Fidel Castro di benua Havana, Cuba.
Visit Cuba
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
22 Muharam, 1435 | 26 November, 2013
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
17 Muharam, 1435 | 21 November, 2013
Currently have 0 comments: