Ulasan Buletin Utama 10 Mac 2008
Bahagian 1
Abdullah perlu berundur, beri peluang Najib memerintah
Oleh Ali Bukhari Amir
Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, barisan kepimpinan Umno serta BN secara jumhurnya telah mengakui kelemahan diri sendiri. Tamparan rakyat, pukulan maut serta tendangan berbisa ini belum pernah dirasakan dalam tempoh cukup panjang mutakhir ini.
Bahagian 2
MCA pernah mendapat banyak kerusi di bawah BN. Tetapi, negeri itu tak pernah-pernah menjadi milik mereka. Selangor pernah direbut pembangkang dalam tahun 1969 seperti mana Gerakan pernah menakluk Pulau Pinang ketika parti itu menjadi pembangkang.
PPP juga berjaya menakluk Perak dalam wajah citranya sebagai pembangkang. Ini zaman Sosialis wujud sebagai satu barisan. Barisan Sosialis. Akhirnya, pada saat itu, Tun Razak, ayah Najib mewujudkan Mageran bagi menumbangkan Tunku dengan kelemahan Tunku.
Parti komponen BN masuk BA, apa salahnya?
Jika DAP dengan citra pembangkangnya boleh menawan sebuah negeri, apakah mustahil MCA berubah wataknya sebagai pembangkang untuk menawan sebuah negeri? Masuklah pakatan pembangkang bersama BA di Parlimen dan dengan ini kerajaan BA akan terbina dengan sendirinya. Parti komponen BN yang lain, jika mahu sertai BA pun apa salahnya?
Syahadan, kembali kepada Najib, ini semua adalah bacaan politik yang khas untuk Najib, itu pun jika beliau tak mahu hidup berpura-pura, hipokrit. Beliau tidaklah perlu berlakon di hadapan Abdullah. Najib tentunya mengetahui bahawa beliau adalah bakal PM.
Beliau tidak perlu wajah agamawan seperti Abdullah, kononnya rakyat akan hormatkan imej agamawan itu. Tun Razak akhirnya menolak kepimpinan itu secara kekerasan juga dan tidak timbul isu derhaka kepada institusi beraja walaupun Tunku berdarah raja.
Menolak gaya kepimpinan ulamak Umno yang diterajui Abdullah tidak merosakkan imej Najib yang sememangnya punah berantakan dengan kes Altantuya dan Port Dickson. Hal ini perkara biasa. Dan, lama-kelamaan masyarakat akan lupa dengan sendirinya. Rakyat kita ini bukankah mudah lupa? Jadi, Najib jangan gentar merampas kuasa.
Perbuatan merampas kuasa ini perlu dilakukan segera di dalam tempoh 'iddah Abdullah sedang lemah ini. Jika Abdullah kuat bertenaga semula, semakin sukar pula menghimpun keyakinan orang-orang Umno untuk membuat rampasan kuasa tersebut.
Bahagian 3
Najib wajib rampas kuasa atas nama keselamatan negara
Satu lagi sebab, kenapa Najib wajib merampas kuasa daripada Abdullah ialah kerana hal kepimpinan Abdullah sebagai Pengerusi OIC yang lemah. Di peringkat antarabangsa, kita dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh Abdullah ketika rakyat Palestin terkepung di Gaza dan tidak mendapat apa-apa bantuan daripada Mesir.
Abdullah bersandiwara ketika pilihan raya di dalam Multaqa al-Azhar dengan membawa Syeikh Tantawi daripada al-Ahar, Mesir ketika rakyat Palestin menderita. Rasanya, tiada sebarang rumusan mengenai Palestin melainkan acara itu hanya memperdagangkan Islam Hadhari agar gagasan itu jelas kelihatan diterima oleh seluruh sarjana Muslim sedunia.
Ringkas cerita, Multaqa’ al-Azhar terdahulu adalah kempen peribadi Abdullah menjelang pilihan raya sebagaimana kempen sang Idris Jusoh yang kononnya ingin mencetak ribuan hafiz berkemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi melalui Imtiaz beliau.
Tunku sebagai orang penting dalam OIC telah anjurkan Musabaqah al-Qur’an sebagai hal yang sama dengan Abdullah. Semua qari dan qariah sedunia dijemput guna menjernihkan wajah Islam Malaysia melalui acara tersebut.
Najib tak perlu menonjolkan watak dirinya sebagai lebih Islam daripada Abdullah kalau beliau benar-benar mahu singkirkan Abdullah sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya, Islam Hadhari yang dianggap Abdullah sebagai senjata menentang PAS itu sendiri telah menikamnya jauh ke dalam jiwanya sehingga membunuh kepimpinannya sendiri.
Memang masyhur ungkapan tiada pemberontakan dalam Islam. Ungkapan ini pun sebenarnya mengundang banyak polemik dan perbahasan lagi. Tapi, dalam ruangan sebatas ini, tidak perlulah kita himpunkan semua pandangan pro dan kontra tersebut.
Apa yang lebih mustahak sekarang, Najib perlu ingat bahawa Umno bukanlah parti Islam, malah citranya berkiblatkan faham kebangsaan. Jadinya, tidak mengapa Najib membuat pemberontakan ke atas gaya kepimpinan Abdullah yang lemah ini.
Abdullah tidak ikhlas menyelamatkan maruah Dunia Islam
Lihat, sama ada Abdullah ikhlas atau tidak menyelamatkan Dunia Islam. PM tidak hadir ke mesyuarat OIC bermula Isnin ini. Menurut Syed Hamid Albar, kerajaan menamakan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh sebagai gantiannya.
"Walaupun persidangan itu penting, iaitu untuk menyerahkan jawatan Pengerusi OIC kepada Senegal, tetapi keadaan dalam negara membabitkan tanggungjawab menubuhkan kerajaan lebih penting.
"Perdana Menteri dan saya membuat keputusan tidak hadir ke mesyuarat itu," katanya.
Di sini pun Najib boleh melihat apakah Abdullah benar-benar bertanggungjawab dalam OIC, sebuah persatuan antarabangsa yang diwujudkan guna melindungi negara Islam seluruhnya.
Bahagian 4
Abdullah diam membungkam, membisu seribu bahasa. Yang keluarkan kenyataan hanya dua menteri; Syed Abdul Hamid Albar dan Najib sendiri sebagai TPM. Apa kata Najib?
"Sebelum Amerika mahu menasihati kami, mereka mesti jawab dahulu apa yang mereka lakukan ke atas para tahanan di Guantanamo!" kata Najib dengan tegasnya.
Apakah yang Abdullah lakukan ketika bersalaman dengan Bush dalam suatu pertemuan? Menurut suatu laporan, Abdullah menyatakan beliau terlupa bertanyakan Bush mengenai tahanan Guantanamo. Laporan lain menyebut, Abdullah tidak bertanya langsung kepada Bush darihal rakyat Malaysia dalam tahanan itu.
Jelas, Abdullah bukan pembela rakyatnya sendiri! Najib berani menyindir Amerika pada saat Abdullah menikus diri depan Bush. Jadi, kenapa Najib malu-malu kucing kepada bosnya sendiri? Sifat penakut Abdullah ini banyak mengundang bencana kepada rakyat Malaysia dan Dunia Islam seluruhnya! Najib perlu bertindak segera sebelum terlambat!
Bekalan hadis kepada Najib
Atau, jika Najib perlukan senjata berbekalkan agama berdalilkan sepotong hadis nabawi untuk menonjolkan imej agamawan untuk menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi, Najib boleh hafal dan mengkaji hadis ini bersama Rosmah Mansor setiap malam sebelum beliau masuk tidur. Isteri beliau sudah mahir sedikit sebanyak kerana mengikuti acara Usrah di TV9 saban Jumaat.
Sabda Rasulullah s.a.w kepada Abu Zarr al-Ghifari lebih kurang berbunyi begini: "Wahai Abu Zarr, kepimpinan itu sungguh berat sedangkan engkau ini sangat lemah…"
Lanjutan kepada kupasan dan perbahasan terhadap hadis ini bolehlah Najib rujuk kepada seorang mufti muda di utara tanahair yang selalu mengupas hadis ini melalui ceramahnya termasuk dalam kolum mingguan beliau di Mingguan Malaysia.
Bahagian 5
Hadis ini, untuk pengetahuan Najib, sememangnya dapat ditujukan ke atas sifat Abdullah yang kelihatannya seolah-olah 'lelaki warak', tapi lemah. Sikap agamawan yang dimiliki Abdullah tidak melayakkannya memimpin, sebagai sifat warak Abu Zarr yang tidak pun melayakkan sahabat itu memimpin. Itulah Abdullah seperti dalam gambaran hadis itu.
Kupasan ringkas ini tentunya tidak membantu Najib dalam menyusun angkatan protesnya untuk melakukan rampasan kuasa ke atas Abdullah. Jadi perbahasannya boleh ditemukan pada mufti muda itu, walaupun beliau tidaklah berani mempertalikan hal kelemahan kepimpinan Abdullah menerusi kupasan ke atas hadis itu melalui ceramah dan kolum mingguannya.
Memang sukar menyatakan kebenaran secara berterus-terang dalam akhbar lidah pemerintah apatah lagi ketika memegang jawatan dalam kerajaan. Yang kuat, jadi lemah ketika mula berada dalam pemerintahan. Tidak seperti ketika berada di luar kerajaan.
Tetapi lemah dalam konteks ini bukanlah seperti lemahnya Abu Zarr, kerana sosok agung yang dikatakan lemah dalam pemerintahan ini ternyata kuat pula menegur pemerintahan. Abdullah berbeza dengan Abu Zarr. Di dalam kerajaan tertidur. Jadi pembangkang langsung pengsan. Apa-apa pun kupasan selanjutnya, silahkan Najib bertemu pihak yang lebih arif.
Jika Najib mahu menghafal dan mengkaji hadis ini sebagai suatu senjata untuk melawan Abdullah, hal ini kelihatan seperti beliau menggunakan agama untuk tujuan dan maksud politik peribadinya pula. Misalnya, Najib akan berkata begini:
"Hei Abdullah, turunlah dikau kerana sesungguhnya kepimpinan itu berat dan engkau itu pula lemah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Abu Zarr mafhumnya …"
Memang betul. Nampak daripada suatu segi, seolah-olahnya beliau menggunakan agama bertujuan melonjakkan politik peribadinya. Tapi, tidak mengapa. Pertamanya, bukankah Abdullah pun sama saja menggunakan Multaqa al-Azhar dan Islam Hadhari untuk tujuan politik menjelang pilihan raya?
Kedua, bukankah menjadi budaya Umno sejak dulu, kini dan mungkin juga buat selama-lamanya mengguna agama untuk tujuan politik yang akhirnya menjahanamkan rakyatnya sendiri?
Sekolah Pemikiran Pendang
4:20 a.m, 11 Mac 2008.
Currently have 0 comments: