Cerita satu malam: Kisah orang media
Sebenarnya, ada ceramah Anwar di Jalan Tambhi Abdullah, Brickfield. Dalam perjalanan menaiki motor, saya teralpa sebentar di Dataran Merdeka. Ada acara tarian ala samba dan saya terleka seketika kerana melayan karenah selera muda.
"Dekat pilihan raya, memang BN semakin galak menyesatkan dan melekakan anak-anak muda ini dengan hiburan," demikian getus hati saya. Tetapi, tidak ramai yang melihatnya.
Saya segera kembali tempat yang ingin dituju. Entah jalan apa yang saya ambil, akhirnya terlajak ke Bukit Angkasa di Lembah Pantai, tempat di mana bertembungnya antara BN, PKR dan Bebas. Singgah di sebuah pondok PKR, saya tanya di mana ceramah kelompok.
"Semalam ada dik. Tapi, malam ni semua tumpu di Brickfield," kata seorang ahli PKR.
Irma (samaran), wartawati dari sebuah akhbar aliran perdana SH mengirim pesanan sms, "Anwar tengah bagi 'speech' la ni. Di Jalan Tambhi Abdullah, Brickfield …"
Tetapi, sengaja saya lengahkan masa sekejap sambil melihat beberapa helaian kertas yang diselit antara pamplet yang ada di pondok petugas pilihan raya PKR di situ. Khendak sang editor untuk segera ke tempat ceramah saya abaikan sebentar.
Sememangnya, amalan meneliti, membaca, menilai dan mengkaji kertas-kertas manifesto pilihan raya telah menjadi hobi dan minat saya. Hobi ini bercambah kerana daripada situ kita dapat meneka-neka apa yang hadir dan wujud dalam ingatan pimpinan parti.
Manifesto kini salah satu laluan, selain daripada meninjau isi butiran percakapan melalui temu bual atau bahan penulisan mereka. Saya dapati bahan kempen dalam bentuk risalah ini cukup kuat di Lembah Pantai. Salah satu faktornya, mungkin … ia telah dibantu oleh jentera anak muda yang dikenali sebagai Anwar Ibrahim Club (AIC).
Tanpa kumpulan ini, nescaya bahan risalah ini tak dapat disusun sebaiknya dengan fakta, dan laman sesawang itu gagal beroperasi dengan sebagus-bagusnya. Di pamplet tersebut ada suatu maklumat mengenai keputusan pilihan raya di Lembah Pantai pada 1999 dan 2004.
Dengan peratus pengundi Melayu 53.2 peratus, Cina (25.7), India (20.1), PKR telah catat satu perkembangan yang baik pada 1999 apabila Shahrizat (BN) menang dengan majoriti 1,454 undi. Pada saat itu, calon PKR Zainur Zakaria mendapat 17,272 undi dan Shahrizat (18,726). Itulah keputusan yang berlaku pada 1999 selepas Reformasi.
Pada 2004, PKR meletakkan calonnya Sanusi Osman yang tewas dengan majoriti 15,288 undi kepada Shahrizat yang mendapat 26,474 undi. Sanusi mendapat 11,186. Undi untuk PKR mula menurun dengan kira-kira 6,000 lebih.
Ramai pihak beranggapan bahawa faktor Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang imej suci, bersih berperwatakan cucu ulamak memberikan kemenangan ke atas Umno-BN. Sama ada imej suci itu masih bertahan atau tidak, masa menentukan.
Saifuddin Nasution dalam suatu forum rakyat diadakan di Taman Melwar tidak lama dahulu telah meramalkan bahawa 'feel good factor' yang ditimbulkan oleh Abdullah Ahmad Badawi ini sudah tidak akan menjadi modal pilihan raya lagi untuk BN.
Namun, desas-desus orang-ramai tidak boleh ditolak dalam hal ini. Misalnya, masih ramai pihak yang melihat Umno-BN menyimpan keyakinan ke atas Dato' Shahrizat atas pengalaman beliau. Pun begitu, desas-desus tentang Nurul Izzah yang dikatakan mampu menarik undi pengundi muda tidak kurang hebat diperkatakan.
Bermodalkan isu-isu di peringkat nasional, V. K Lingam, harga minyak naik, pendidikan percuma dan Perdana Menteri yang menipu mengenai tarikh pembubaran pilihan raya ini boleh menjadikan keputusan itu memihak kepada pakatan BA kali ini.
Apa pun, BA jangan melupakan isu-isu kecil di peringkat kawasan. Suatu kajian tentang permasalahan penghuni flat di sekitar Bukit Angkasa dan lain-lain perumahan kos murah di situ sebaik-baiknya dihadam sebagai bahan serta modal sulung mereka dalam ceramah kelompok bagi tujuan memikat para pengundi di atas pagar.
Bunyi bingit hon-hon kereta mengejutkan saya. Deretan kereta yang berpusu-pusu masuk keluar melalui jalan-jalan kecil menyedarkan saya bahawa ada tugasan yang belum siap.
Perjuangan yang belum selesai, demikian kata mentor saya Tun Dr Mahathir. Sekali lagi, saya terpaksa berpatah balik. Mencari di mana letaknya tempat ceramah PKR. Akhirnya, saya terlihat kelibat orang-ramai di suatu jalan. Dugaan saya tepat. Di situlah tempatnya.
Namun, ceramah sedepa sudah tinggal sejengkal. Motor saya rapatkan di tebing jalanan, sambil melihat kegilaan para 'pejuang' Umno-BN yang sedang memantau dari jauh-jauh di seberang jalan. Apakah tugas mereka di situ?
Anwar berucap seperti biasa. Masuk ke dalam perkarangan ceramah itu, masyarakatnya sangat ramai. Paling ramai, warga India. Brickfield, di situ memanglah kawasan India.
Walaupun ceramah itu bingit sebagai biasa, dalam kesamaran, mata dan hati saya selalu tertumpu kepada bahan-bahan bercetak yang selalu saya jumpa di kawasan ceramah. Ini memang hobi saya sejak dalam pilihan raya kampus di universiti lagi.
Seronok dapat membaca cara berfikir orang-ramai. Di situlah cara Stamford Raffles dan para penjajah Belanda di Indonesia Snouck Hurgronje mencari kekuatan dan kelemahan umat Melayu Muslim di Nusantara. Dengan itulah, mereka dapat menumpaskan mereka.
Irma yang saya terserempak dengannya semalam terkenang zaman pilihan raya kampus. Dan kami berbual sebentar tentang bagaimana Berita Kampus berperanan sehingga TNC HEP pucat apabila berita kekalahan Aspirasi–Umno sampai ke pengetahuan Kuala Lumpur. Beliau sememangnya takut jika jawatannya ditukar akibat kekalahan Aspirasi itu.
Apabila tamat ceramah, Anwar mula turun dari pentas. Ramai orang mengelilingi untuk bersalam sebagai tanda penghargaan dan sokongan. Ahli keluarganya sudah tiba ke pintu pagar ketika terdengar hingar-bingar provokasi yang tidak diketahui isi butirannya.
'Aktivis' BN buat onar di ceramah BA?
"Mereka ini orang-orang BN," kata Irma lagi. "Baru-baru ini pun mereka lakukan hal yang sama. Selalu buat kecoh."
Dulu, rakan saya itu pernah bekerja di RTM. Tetapi, dia terpaksa berhenti kerana tidak puas hati dengan gaji kecil di samping tidak tertahan dengan karenah Zainuddin Maidin yang menurutnya suka menggunakan RTM untuk kepentingan dirinya sendiri.
"Tengok Warta jam 8 malam. Mesti ada liputan berita tentang Zam kan?" kata beliau pada suatu malam ketika kami sedang enak-enak berbincang darihal kerjaya di kawasan kejiranan perumahannya sekitar Bukit Angkasa.
"Berita saya kena buang sebab kena bagi laluan kepada kenyataan Zam itu," keluh beliau lagi. "Dah la komputer tak pernah cukup. Kami pun terpaksa berkongsi peralatan menaip. Susah kerja kami."
Irma mengadu, memang ada deringan telefon di RTM yang sarat dengan muatan keluhan para penghuni rumah setinggan. Rumah mereka itu sama ada yang bakal dan telah dirobohkan sememangnya tidak dipedulikan oleh Zam.
"Kami sudah tak tahu mahu berdalih apa lagi kepada para penghuni rumah itu," katanya.
Saya membelek kembali risalah AIC yang saya ambil tadi di Bukit Angkasa. Tertera pada risalah itu kata-kata yang memikat: "Mungkin kita terbelenggu dalam propaganda. Bagai mainan tanpa harapan. Tapi tetap kita hanya punya satu kata; LAWAN!"
Ini ayat puisi Wiji Thukul yang hilang akibat dibedil Orde Baru Indonesia dalam sejarah berdarah 27 Julai 1996. Walaupun mati dan hilang ditelan kezaliman penguasa, tapi semangat puisinya tetap hidup dalam mewarnai perjuangan menegakkan demokrasi.
Apabila usul ditolak tanpa ditimbang
suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
dituduh subversif dan mengganggu keamanan
maka hanya ada satu kata: lawan!
Dia menulis kata-kata itu pada 1986. Kata-kata dan idea tidak boleh dipagari, tidak boleh dipenjarakan oleh suatu kuasa apa pun. Ia tetap bertahan. Sehingga kini, genap usia puisi itu 22 tahun; sebatas usia pemerintahan Tun Dr Mahathir yang juga digelar Suharto Kecil.
Wartawan dan wartawati seperti rakan saya itu tidak boleh lagi bekerja di RTM. Lantaran itu dia ambil keputusan pergi ke akhbar lain. Di media baru ini, kata Irma, ruangnya agak lapang untuk melaporkan ucapan pimpinan pimpinan pembangkang.
"Boleh la tulis laporan sikit berbanding di RTM tu," katanya lagi. Rakan saya itu sering bandingkan Warta jam 8 dengan Buletin Utama, TV3. "Kalau rehat di gerai-gerai, rangkaian tv mana orang akan buka? Orang lebih suka tonton Buletin Utama, sebab ruangan lebih terbuka."
Saya terdiam. Rakan saya itu dulunya bukan ambil pusing sangat tentang politik kampus. Dia seperti anak-anak muda lain yang tak hiraukan hal siasah. Cuma, di akhir riwayatnya di RTM, garis hidupnya banyak dilukis oleh corak kehidupan kotor media aliran perdana. Jadi, sedikit sebanyak dia sudah mulai tahu menimbang baik buruknya media perdana ini.
Undang-undang Sadiq Sigaraga
Entahlah. Dalam menungan begini, saya selalu melihat undang-undang zalim di Malaysia seperti peraturan yang direkacipta oleh keluarga Sadiq Sigaraga ke atas Tiga Abdul. Sebelum makan, perlu ambil bau dahulu. Kemudian makanan itu dibawa ke dapur. Kalau berkahwin, tidak dibenarkan tidur sekatil dengan isteri, tapi perlu tidur di kandang kuda. Semua akta ini tercipta dengan niat menaikkan kemarahan rakyat.
Apabila rakyat mula marah, semua itu menjadi alasan untuk penguasa merampas harta mereka yang paling berharga; kebebasan bersuara dan demokrasi. Undang-undang itu bukan untuk mencari keadilan lagi, tapi untuk kepentingan peribadi. Perundangan Sadiq Sigaraqa ini menyekat naluri fitrah. Naluri selera makan disekat dan selera syahwat ditutup rapat.
Sememangnya, ada dua faktor yang menyebabkan manusia memberontak. Pertama, perut yang lapar dan kedua nafsu seks yang tersekat akibat disekat dengan sengaja oleh kuasa.
Bayangkanlah, juadah disediakan, cuma hidu, makannya tidak dibenarkan. Boleh bernikah, tetapi jangan tidur seranjang. Rakyat kononnya berhak mengadakan perhimpunan aman, tapi permit tidak dikeluarkan polis. Auku kononnya tidak menyekat pelajar menulis. Tetapi, perlu juga pelajar itu meminta keizinan TNC HEP. Dan lazimnya, keizinan itu sukar diberikan.
Akibat daripada perlanggaran terhadap undang-undang semacam ini, maka rakyat ditahan dan didenda. Itu sahaja. Rakyat akan dijual maruahnya dan hartanya akan dirampas.
Sampai bila rakyat mahu sedar mengenai tipu daya dan helah pemerintah yang telah lama mengguna undang-undang yang telah mendatangkan marah ini? Akibat marah inilah Tiga Abdul telah dijual dan harta bendanya akan dirampas. Sebab itulah kita perlu berusaha keras mencari jalan bagi menaikkan marah pemerintah pula.
"Makhal Sakhti!!!" jerit Anwar dari kejauhan. Suaranya menyebabkan saya terjaga sikit daripada lamunan panjang. Saya lihat kelibatnya yang dikelilingi para penyokong. Mereka kebanyakannya berbangsa India. Mungkin juga orang-orang Hindraf.
Ketika tiba ke keretanya, Anwar ada gaya tersendiri. Dia berhenti seketika memusingkan kepalanya memandang ke arah semua penyokongnya. Lalu, beliau akan meletakkan kakinya di tebing pintu kereta belakang. Lalu di situ beliau akan berdiri agar tubuh beliau berada di kedudukan tinggi supaya lebih ramai pihak dapat melihatnya.
Dia akan menjeritkan sepatah dua kata 'Makhal Shakti' dengan tujuan mewujudkan suatu hubungan kejiwaan antara dirinya bersama para pendengar ceramahnya tadi sebelum dia memasukkan sepenuhnya tubuhnya dalam kereta besar itu.
Malam itu, saya pulang dengan seribu satu macam pengertian. Awan-awan mula kelihatan sebak dengan tangisan mendung di langit. Semoga hujan jangan turun malam ini.
Sekolah Pemikiran Jalan Pahang Barat
Currently have 0 comments: