Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Kritiklah sebaiknya, bukan penghinaan dengan anugerah penyapu

Monday, November 19, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 12:48 PM

Oleh Ali Bukhari Amir

Ada banyak masalah dengan cara berfikir umat Melayu khasnya di peringkat pucuk pimpinan Melayu. Dua hal yang dikenalpasti setakat ini - ialah tidak pandai membezakan antara kritikan dan penghinaan. Ramai orang dapat menerima kritikan, tapi tiada langsung yang boleh terima penghinaan. Ini kerana penghinaan menjatuhkan maruah dan harga diri.

Pendek kata, segala dosa boleh dihukum dengan kritikan dan kemarahan, tapi bukan melalui jalan penghinaan. Kritikan boleh menyebabkan seseorang itu berusaha menebus khilaf dosa. Tetapi, penghinaan bukannya jalan membetulkan keadaan, malah menjatuhkan maruah.

Sedangkan maruah dan harga diri itulah yang mencerminkan apa itu kemanusiaan. Manusia itu tanpa kemanusiaan, tiada ertinya lagi. Malah, manusia tanpa kemanusiaan, darjatnya hina lebih daripada haiwan. Ini kerana, kemanusiaan adalah pakej yang dibawa bersama akal.

Dan akal itulah yang membezakan antara manusia dengan haiwan tadi. Dengan akal, manusia boleh berasa malu kerana maruahnya diinjak dan harga dirinya dipijak. Ada pihak menyebut– hal ini menyebabkan Khir Toyo kelihatan ‘macam bagus’, sekali gus orang bawahannya tidak bagus, pandai, cermat dan rapi dalam urusan mengutip cukai.

Atau, situasi ini mencerminkan sikap ragging dan bully di zaman persekolahan dan remaja. Jadi, di usia dewasa ini layakkah budaya seperti ini dilakukan cuma semata-mata untuk menjadikan seseorang itu bahawa ketawa sampai bila-bila? Apa perasaan kaum keluarga, anak isteri YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail?

“Jika ada pilihan saya sebenarnya lebih rela mengambil VSS atau bersara awal daripada dapat hadiah penyapu yang bagi saya amat sukar diterima,” kata beliau yang akhirnya membatalkan kenyataan asalnya – mahu jadikan penyapu sebagai iktibar dan sumber inspirasi bekerja keras.

Jadi, inilah antara masalah utama - gagal membezakan antara kritikan dan penghinaan. Kedua ialah keliru dalam membuat ukuran, menimbang, serta menyukat dosa orang bawahan untuk disesuaikan dengan hukuman. Sejengkal dosa ‘diadili’ dengan sedepa hukuman.

Kesilapan Tukiman tak sepatutnya dihukum sebegitu. Sikap PBT yang gagal mengutip cukai itu bernilai sejengkal dosa jika dibandingkan dengan urusan merampas wang PPRT, meroboh rumah setinggan dengan jengkaut dan jentolak yang bernilai sedepa dosanya.

Mana lebih mulia - antara penyapu yang menyapu sampah dengan jengkaut dan jentolak yang ‘menyapu’ puing-puing rumah khalayak yang disifatkan sebagai sampah dalam pembangunan untuk menuju Selangor Maju?

Sementara itu Pemuda Umno Selangor Abdul Shukur Idrus di dalam kenyataannya Ahad lalu berkata, isu itu sudah dianggap selesai berikutan kenyataan Khir bahawa pemberian penyapu itu tidak akan diteruskan pada tahun depan.

“Kenapa ada orang lain yang mahu menjadi jaguh bagi menyatakan rasa tidak puas hati,” kata beliau sambil menyifatkan hal itu tiada masalah sepatutnya kerana keputusan hadiah penyapu itu adalah hasil muafakat bersama antara MB Selangor bersama para pegawai kerajaan negeri.

Namun, suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan di sini ialah adakah benar tiada bangkangan langsung ketika Khir sedang memutuskan untuk menghadiahkan penyapu itu? Mungkin juga ada yang ingin membantah, tapi mereka takut bersuara kerana kuasa yang ada pada MB itu.

Akhirnya, sikap bantahan dalam diam (silent objection) itu mungkin disifatkan Khir sebagai satu persetujuan seperti mana halnya yang berlaku dalam mesyuarat-mesyuarat Umno di peringkat cawangan dan bahagian. Hanya setelah kenyataan tulus Tukiman yang kesal dengan anugerah penyapu itu tersiar Ahad lalu barulah Khir tahu bahawa keputusan itu cuma usul peribadinya dan tidaklah mewakili pandangan majoriti para pegawai kerajaan negeri di bawahnya.

Namun, setelah ditekan beberapa laporan media termasuklah perbincangan bersama Perdana Menteri akhirnya Khir berkata, pihaknya tidak memberi penyapu sebagai hadiah sebaliknya mengarahkan para pegawai atasan PBT melepaskan jawatan masing-masing dengan bersara awal atau mengambil VSS. Di sini, jelas terpancar keegoan Khir ke atas orang bawahannya.

Khir Toyo enggan meminta maaf kepada Tukiman Nail! Adakah kerana beliau menganggap dirinya sudah besar? Budaya bangsawan yang gemar menghina orang bawahan ini bukannya perkara baru. Filem purba kerap menyiarkan sikap perilaku yang kasar – tidak mencerminkan akal hadhari yang tinggi, di mana setiap keputusan mereka dibuat dengan kepala lutut.

“Cara yang perlu dipelajari ialah melihat semua sebagai sebahagian daripada kita. Baru dapat kita raikan bersama. Jangan lihat aku bos, kamu bukan bos. Bukan saja YDP tapi seluruh ahli majlis yang dianggotai wakil dari parti politik pemerintah mesti bertanggungjawab.

“Mereka semua perlu bantu YDP PBT meningkatkan pendapatan. Sepatutnya mereka dapat penyapu juga kerana mereka mewakili rakyat. Mereka tidak efektif,” kata Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof Madya Dato’ Zainal Abidin Borhan dalam wawancara Mingguan Malaysia Ahad lalu atas isu penghinaan melalui penyapu.

Presiden Wadah, Dato’ Dr Siddiq Fadhil memiliki pandangan yang tidak kalah menariknya di dalam memperkatakan hubungan hamba rakyat dan raja dalam ucapan persidangan Skima di Kota Bharu pada 28 Oktober lalu.

Beliau merujuk wa’ad sumpah ikatan perjanjian atau kontrak sosial antara Seri Tri Buana dan Demang Lebar Daun sebagai yang terungkap dalam teks manuskrip Sulalatus Salatin, tulisan Tun Seri Lanang. Menurutnya, dalam apa keadaan sekali pun rakyat jangan sesekali diaibkan.

Demang Lebar Daun berkata, “Seperkara lagi perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jika ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi.

Seri Tri Buana menjawab, “Barangsiapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka dibalas Demang Lebar Daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”

Berdasarkan riwayat ini, Tun Seri Lanang menulis komentarnya: “Itulah dianugerahkan Allah subnahu wa taala pada segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat, tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata yang keji hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. --- (Sulalatus Salatin, hal. 26)

Sedangkan Raja-Raja Melayu dilarang memberikan aib ke atas semua rakyatnya, maka darihal apakah sebabnya sebabnya kaum bangsawan dengan tiba-tiba jadi berani mengaibkan rakyat? Lagi pun, bukankah akan sekalian bangsawan itu juga adalah hamba rakyat juga pada asalnya?

“Melayu adalah bangsa yang amat kuat menjaga maruah, harga dirinya dan mereka tak mahu diberi malu. Banyak pepatah dan pantun lama yang menggambarkan pandangan hidup orang kita mengenai malu. Antaranya, biar bersimbah peluh di dahi, kain basahan jangan diselak.

“Maksudnya, walaupun wajah dibasahi peluh, tapi kain basahan yang menutupi anu janganlah dibuka. Kitalah satu bangsa yang ada istilah ‘kain basahan’. Satu-satunya fungsi kain itu untuk menutup kemaluan ketika mandi. Itu sahaja. Ini bukti bahawa kita ada pandangan hidup yang jelas dan rapi mengenai rasa malu, maruah dan harga diri,” kata Dr Siddiq Fadhil.

Khir sepatutnya memiliki dua pertimbangan sebelum membuat keputusan. Pertama, penyapu adalah cabaran bagi menaikkan prestasi. Kedua, hadiah penyapu guna memalukan seseorang. Antara kedua-dua pemikiran ini, pertimbangan yang manakah yang sepatutnya diambil?

Bukankah penyapu juga menggambarkan ‘sapu duit rakyat’? Tindakan memalukan orang ini sebenarnya akan memalukan diri sendiri. Boleh jadi, negeri perkenalkan cukai baru, rakyat tak dapat bayar lalu diberikan penyapu kepada PBT padahal mungkin penguatkuasa sendiri tidak sampai hati ‘menyapu’ duit rakyat? Rasa-rasanyalah…

Kedudukan cukai sama seperti zakat, kerana ada nas menyebut, supaya diambil sedikit harta khalayak guna menyucikan harta mereka. Maka, zakat membersihkan harta. Wang zakat juga digunakan untuk membiayai pengajian pelajar agama di Timur Tengah.

Tapi, ada juga kes di mana pelajar-pelajar agama, anak negeri Selangor tidak mendapat biaya pendidikan melalui lembaga yang menguruskan zakat. Lembaga ini di bawah kerajaan negeri. Di manakah wang zakat ini digunakan? Sepatutnya, pegawai inilah yang terlebih layak untuk menerima penyapu kerana ‘menyapu’ duit yang sepatutnya menjadi hak pelajar agama.

Khir boleh memberikan anugerah penyapu ke atas pegawai-pegawai yang menyapu duit zakat ini dengan syarat, beliau perlu bersedia menerima anugerah penyapu daripada rakyat Selangor sendiri. Dengarnya, anggota pentadbiran Selangor juga berselirat dengan kes-kes rahsia?

Currently have 0 comments: