Kerana pencerobohan Tanjung Tuan, Basir bersedia 'ambush' PM
Tahukah anda, kawalan keselamatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sememangnya longgar di mana kita dapat ‘ambush’ beliau jika ingin menyampaikan pesanan, amanat dan wasiat penting jika segala saluran lain telah tertutup.
Tidak manis mengguna istilah ‘ambush’ kepada Perdana Menteri, apatah lagi selepas bahang perhimpunan Bersih 10 November lalu masih membara. Kelak terbakar rentung emosi Putrajaya. Seperkara lagi, ‘ambush’ adalah istilah penjajah.
Sebagai ‘pejuang’ bahasa yang masih merangkak saya rasa resah gelisah untuk menggunakan istilah ini. Tapi, mungkin inilah istilah yang paling tepat sehingga kini untuk menggambarkan hubungan Abdullah yang seolah-olah gagal tidak menghiraukan pesanan majoriti rakyat.
Isu ‘ambush’ Abdullah mendapat sambutan hangat apabila seorang gadis menaiki pentas lalu mengirim bunga kepada beliau dalam satu perhimpunan suatu masa dahulu. Selepas itu telah menyusul komentar Puan Aliza (isteri bekas tahanan ISA) di Harakahdaily yang bercerita hal ‘ambush’ yang dilakukannya bersama bekas isteri-isteri tahanan ISA yang lainnya.
“Bagaimana tidak longgar kawalan, jika pengawal peribadi asyik lihat wanita cantik saja dalam perhimpunan tu?” demikian seloroh seorang aktivis pencinta alam Mohd Basir Abdullah, 56, ketika berkongsi pengalamannya sendiri yang melakukan ‘ambush’ ke atas Abdullah.
“Tapi,” kata Mohd Basir, “saya naik pentas itu bukan main-main melainkan kerana ada suatu pesanan penting yang perlu Abdullah jawab. Yang penting sekarang, saya mahu tanya beliau apakah tindakan Abdullah terhadap isi kandungan surat saya itu?
“Saya naik ke pentas itu bukan semata-mata mencari nama, tetapi ia kerana desakan hati saya yang paling dalam terhadap kemusnahan alam sekitar di Malaysia. Negara kita sebenarnya ada ‘sesuatu’ di dalamnya yang menyebabkan ia tenteram jika dibandingkan dengan negara lain.”
Apakah isu yang amat penting itu, hingga beliau nekad menaiki pentas untuk mengirim surat kepada Perdana Menteri? Dan apakah ‘sesuatu’ yang ada dalam negara ini sehingga negara ini baik, aman tenteram dan sejahtera?
‘Sesuatu’ itu tetap menjadi rahsia. Mungkin, Abdullah perlu mengetahui apa hakikat ‘sesuatu’ itu. Tapi, yang menjadi sendi perjuangan Basir sehinggakan beritanya menaiki pentas tersebar secara meluas, ialah usaha menyelamatkan Hutan Simpan Kekal di Tanjung Tuan, Melaka.
“Tanjung Tuan telah rosak. Cuma, saya tumpukan kepada projek di kaki Gunung Angsi. Ada pihak tertentu yang mahu bawa dua ekor raja ular anakonda yang merbahaya dari Amerika Latin bagi tujuan membangunkan projek zoo ular terbesar di rantau ini.
“Segala spesis ular dari serata negara mahu dihimpunkan di situ. Sebagai pertukaran ular itu, orang utan kita telah diberikan kepada pihak luar,” katanya yang pernah terserempak dengan Bigfoot di Ulu Bendul; sejenis spesis haiwan dari keluarga mawas dan orang utan.
“Tetapi, tidak terlintas mahu tangkap gambar walaupun kamera tergantung di dada. Saya siap berdepan lagi dengannya,” katanya yang kerap melakukan aktiviti di hutan seminggu sekali.
Mohd Basir melakukan ‘ambush’ ke atas Perdana Menteri pada 29 Ogos tahun lalu, dua hari sebelum sambutan perayaan Hari Merdeka, kira-kira pukul 2.30 petang, di Dataran Kemang, Port Dickson ketika Rapat Umum Bistari Pemimpin dan Rakyat sedang berlangsung.
“Saya tercegat beberapa saat atas pentas. Abdullah sedang duduk ketika saya memberi salam. Dia terkejut, lalu saya beri surat itu agar dia campurtangan dalam kes Tanjung Tuan,” katanya ketika mengulas fenomena Kabinet PM yang tidak banyak berfungsi menjaga persekitaran.
“Tanjung Tuan ada banyak pihak yang berkuasa di situ. Tapi di Malaysia ini, yang buat kerja adalah PM dan TPM sahaja. Dulu, ada masalah penternakan khinzir yang membabitkan alam sekitar. Abdullah ketika itu TPM, diamanahkan bagi menyelia jawatankuasa itu,” jelas beliau.
Mohd Basir ditangkap pasukan keselamatan lalu dihantar ke hospital sebagai pesakit mental. Akhirnya, pada jam 10 pagi, dua hari kemudian, 31 Ogos hari merdeka, beliau dibebaskan dari Hospital Besar Seremban.
Paling menarik, selepas seminggu kesemua pesakit mental yang ditinggalkan bersama beliau akhirnya telah pulih dan dikembalikan ke pangkuan keluarga masing-masing.
Kisah Mohd Basir ‘ambush’ Abdullah kerana isu pencerobohan Tanjung Tuan disiar di muka depan akhbar Cina – Sin Chew Jit Poh, Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau keesokannya.
“Metro letakkan berita itu di halaman sebelah dalam. Tapi, Utusan dan Berita Harian langsung tidak siarkan cerita itu pada hari yang sama akhbar Cina itu melaporkannya secara serentak.
“Tapi bukanlah hal itu yang mesti dihebohkan. Saya mahu media laporkan hal Tanjung Tuan dan kini banjaran Gunung Angsi. Ada beratus sungai jernih di atas sana. Hujannya jarang, tapi air sentiasa ada. Air itu datang dalam bentuk embun yang sentiasa membasahi gunung itu.
“Jadi, airnya selalu bersih dan tidak diperlukan kos rawatan air lagi. Ia memang sesuai dengan keadaan Negeri Sembilan di mana penduduknya sering mendapat gangguan bekalan air,” ulas beliau dengan panjang lebar.
Tanjung Tuan ataupun Cape Rachado (dalam nama Portugisnya) terletak lebih kurang 16 km daripada Port Dickson. Kawasan ini lebih terkenal dengan rumah api (dibina sekitar 1529 oleh Portugis) yang menghadap Selat Melaka.
Kawasan ini walaupun berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, tetapi kaitannya lebih rapat kepada Negeri Sembilan daripada semangat kedaulatannya yang lalu. Hal ini mungkin terkait dengan sejarah, tambahan pula ia amat hampir kepada negeri adat tersebut.
Kawasan pantai tanjung itu sebenarnya memiliki sejarah unik. Ia adalah medan perang antara Belanda dengan Portugis pada tahun 1606. Lalu, dari saat inilah bermulanya detik-detik siri peperangan antara Johor – Belanda – Portugis (Melaka) yang akhirnya menumbangkan kuasa Portugis (Melaka) pada 1641.
Pada 23 Disember 1921, Tanjung Tuan telah diwartakan (No. Warta: 2066) dengan keluasan 80.97 hektar di bawah nama Hutan Simpanan Cape Rachado. Bagaimanapun, pada 1969, sebidang tanah seluas 16.19 hektar daripada kawasan tersebut telah dimansuhkan status asalnya atas tujuan tertentu. (No. Warta: 328 bertarikh 25 Disember, 1969).
Pada 5 Januari 1971, seluas 60.70 hektar kawasan itu diwartakan sebagai kawasan lindungan hidupan liar di bawah pentadbiran Jabatan Perhilitan dengan Ordinan Perlindungan Haiwan Liar dan Unggas dan Burung Liar, 1955.
Pada 15 Julai lalu, Basir merakam sendiri gambar-gambar kerosakan di Tanjung Tuan di mana ia menunjukkan beberapa jentera kerajaan telah digunakan untuk membina kawasan tersebut.
Mohd Basir berkata, beliau mempunyai bukti ke atas ketiga-ketiga pihak yang terlibat dalam kes Tanjung Tuan. Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah Dato’ Abu Seman, Adun Kuala Linggi Datuk Rahman Palet dan Pegawai Daerah Alor Gajah.
“Saya hantar laporan polis ketika pilihan raya kecil Machap sedang berlangsung. Saya hantar sendiri kepada golongan berwajib agar mereka bertindak ke atas ketiga-tiga pihak itu.
“Ada bukti jelas mereka lakukan kesalahan yang menyalahi perundangan negara. Saya minta mereka disiasat dan jika didapati bersalah, dihukum berdasarkan undang-undang,” katanya.
Laporan polis itu menjelaskan kesalahan pihak terbabit sebagai: “... telah melakukan pecah amanah, rasuah, salahlaku dalam tugas mereka dan tanggungjawab yang diamanahkan.”
“Tanjung Tuan memiliki khazanah yang tidak ternilai. Di situ ada batu karang yang tidak boleh didapati di mana-mana. Malangnya, ada kalangan mereka yang memberikan kawasan itu kepada pihak tertentu yang tiada sebarang jasa terhadap negara,” kata Basir.
Pada 9 Mei 2005, akhbar melaporkan pencerobohan di Tanjung Tuan dan kemudian diikuti kenyataan Ketua Menteri Melaka bahawa kawasan itu akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal warisan setelah pembahagian lot di hutan tersebut dikatakan telah ditarik balik.
Namun, menurut Mohd Basir, pada awal Julai tahun lalu, sekumpulan pemaju telah turun ke tapak hutan simpan itu sekali lagi dengan membawa pelan perancangan mereka.
Beliau tidak menolak bahawa ada kemungkinan pihak atasan bersikap tunggu dan lihat, sehingga keadaan reda, barulah pihak berkenaan membuat penerokaan semula ke atas tanah tersebut.
“Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terkejut apabila mendapati lebih 11.1 hektar tanah telah diagihkan kepada individu tertentu. Kepada siapa dan bagaimana hal ini boleh terjadi? Mungkinkah ada pihak yang mahu menjualnya?” tulisan Basir dipetik dalam sebuah akhbar.
Samada ‘ambush’ Mohd Basir ke atas Abdullah di atas pentas ini mampu menggerakkan hati Perdana Menteri untuk ikut campurtangan ke atas Tanjung Tuan ini, hanya masa menentukan.
Abdullah dinasihatkan agar mewujudkan blog bagi mengelakkan dirinya di'ambush' sekiranya ada pihak sukar menyalurkan pandangan dan kritikan terhadapnya secara 'in person'. Setidak-tidaknya mereka boleh menemui Abdullah secara maya. Lagi pula, bukankah kita mahu menuju kepada kerajaan elektronik?
Mereka yang ingin mendapatkan butiran lanjut mengenai kemusnahan Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, bolehlah mengirim e-mel mohamad.basir@yahoo.com.
Currently have 0 comments: