Berbaloikah RM40,000 untuk menangkap 30 pelajar universiti?
Seorang Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (TNC HEP & A) telah mengirim sepucuk surat kepada Naib Canselor untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM40,000. Dana itu adalah kos elaun dan biaya peralatan kepada para petugas universiti dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok.
Sebenarnya, jumlah itu secara keseluruhannya mencecah angka ratusan ribu. Tapi, oleh kerana TNC meminta RM40,000 secara khusus daripada NC dengan menyebutkan peruntukan kod khas universiti, maka kita tumpukan kepada nilai RM40,000 dahulu.
Hal TNC meminta tajaan usahawan serta orang perseorangan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, itu adalah soal lain. Semoga mereka yang terlibat, mendapat ganjaran ‘pahala’ sesuai dengan niat mereka menyumbang itu.
Kini, kita tidak menoleh kepada amalan menghanguskan dana universiti. Itu jelas menghabiskan wang universiti dengan sia-sia. Sekarang, kita menoleh hal lain pula, iaitu berbaloikah RM40,000 bagi menangkap 30 siswa universiti?
Dalam kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Mohamad pada 29 April lalu, beliau berkata, kira-kira 30 pelajar berjaya ditangkap oleh suatu jawatankuasa yang melibatkan semua TNC HEP dari pelbagai universiti.
Dalam jangkaan Mustapa, kebanyakan pelajar akan diberi amaran dan kaunseling kerana kebanyakan kes melibatkan kempen rumah ke rumah. Tambah beliau, tiada yang terlibat dengan sebarang kegiatan yang boleh membawa ketegangan.
Mustapa melahirkan rasa puas hati dengan peranan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemantau Ipta kerana berjaya menjadi pencegahan dalam mengelakkan penglibatan siswa dalam politik kepartian menjelang pilihan raya.
Jelasnya, tanpa jawatankuasa ini yang tertubuh beberapa tahun lalu, jumlah pelajar yang terlibat mungkin jauh lebih ramai. “Dengan jawatankuasa ini, mereka tahu jika didapati turut berkempen, hukuman Auku menanti termasuk digantung pengajian,” jelasnya.
Sama ada Mustapha sedar atau tidak, kebanyakan siswa dan pensyarah sedar; keterlibatan mereka dengan pembangkang akan menyebabkan mereka dikenakan hukuman melainkan jika mereka turut serta dalam jawatankuasa tersebut dengan bantuan Putera, Puteri Umno.
Mustapha sememangnya mempunyai alasan yang cukup kuat apabila beliau menyatakan kepuasan hatinya berhubung prestasi jawatankuasi tersebut. Pertamanya, KPT tidak perlu mengeluarkan RM40,000. Semua universiti yang dilantik sebagai tuan rumah secara tidak langsung terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk belanja menangkap mahasiswa itu.
Jika menteri sendiri yang mengeluarkan wang tersebut, mungkin beliau protes, “Kenapa terlalu sedikit siswa yang ditangkap? Cari lagi! Mungkin ada 10,000 siswa yang bebas di luar sana!”
Sesiapa pun tentu tidak puas hati jika wang besarnya hangus sekelip mata. Tambah tidak berpuas hati apabila 30 pelajar terlepas daripada hukuman. Berbaloikah hasil tangkapan sedikit itu, kemudiannya terlepas daripada jaring hukuman dengan mengorbankan tenaga yang banyak, sekitar 100 petugas dengan RM40,000.
Perlu diingat bahawa siswa bukan seperti ikan di laut di mana nelayan perlu kelengkapan bot bernilai puluhan ribu untuk aktiviti memukat. Hasil tangkapan ikan mestilah banyak. Sama ada ikan hidup atau mati apabila tiba di daratan, nelayan tetaplah untung.
Namun, hasil tangkapan kutu mahasiswa di Ijok tidak begitu. Dalam 30 orang mahasiswa mungkin 20 orang terlepas berdasarkan kenyataan Mustapha, iaitu ‘hukuman’ itu sekadar memberi kaunseling dan sebagainya.
Saranan kita kepada HEP dan KPT, sebelum memburu mahasiswa, ada baiknya dihitung segala hutang-piutang untuk membayar semula kepada universiti tuan rumah. Juga perlu dihitung segala kemungkinan untung rugi daripada hasil tangkapan dan buruan tersebut.
Mungkin selepas ini ada baiknya dibuat post-mortem dengan meletakkan sasaran terlebih dahulu. Seperti berapa ramai siswa yang patut ditangkap. Hal ini perlu bagi mengelakkan kerugian dan musibah malu selepas pencen daripada kementerian dan pencen HEP.
Kalau 10,000 pelajar ditangkap, bermodalkan RM40,000, maka ‘harga diri’ pelajar ialah RM4 ‘satu kepala’. Murah sikit. Dan, nilai ini mungkin sesuai dengan ‘kemurahan’ nilai ‘harga diri’ mahasiswa hari ini menurut ukuran pandangan liar KPT dan HEP.
Kalau hanya 30 orang pelajar ditangkap bermodal RM40,000, harga diri pelajar itu jatuh kira-kira RM1,333.33 bagi ‘satu kepala’. Nilai ‘harga diri’ ini sangat mahal atau mungkin menggambarkan ketidakcekapan jawatankuasa tersebut untuk menaikkan prestasi mereka berdasarkan jumlah hasil tangkapan tersebut di masa-masa mendatang.
Atau, ada satu lagi cara yang boleh dilakukan bagi memastikan dana RM40,000 itu tidak hangus begitu sahaja. Kita percaya ramai kalangan pentadbir universiti adalah mahaguru yang mahir dalam seni bina bangunan.
Kebetulan, baru-baru ini hujan lebat membanjiri ibu kota. Akibatnya, berlaku ketirisan dan kebocoran di beberapa buah bangunan kerajaan di Putrajaya, mahkamah bocor dan Parlimen pun demikian juga. Dana RM40,000 mungkin sesuai untuk penyelidikan.
Adalah lebih baik kerajaan melalui KPT melantik HEP serta IPT dengan geran sejumlah RM40,000 supaya jawatankuasa pemantau di Ijok dapat mengkaji faktor-faktor ketirisan, kebocoran bumbung Parlimen dan retak di mahkamah. Bukankah ini latihan kerja ilmiah yang mendatangkan hasil pulangan lumayan dan manfaatnya kembali kepada kerajaan juga akhirnya?
Currently have 0 comments: