Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Pakaian seragam: kerajaan Islam Hadhari' sudah boleh buat keputusan

Wednesday, June 04, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 4:36 AM

H Fansuri
Wed Jun 04, 08 11:16:26 am MYT

Dalam banyak hal, secara prinsipnya keputusan selalunya diambil oleh pihak atasan berasaskan satu permuafakatan antara khalayak. Syura wajib didahulukan. Kemudiannya, suatu keputusan akan dicapai.

Tetapi, dalam beberapa kejadian kadangkala tidak menunjukkan sebegitu. Ada ketikanya, suara golongan kecil mengatasi golongan ramai. Menurut amalan demokrasi, suara ramai perlu dihormati. Dan, hal inilah yang sangat menarik dibincangkan sampai bila-bila pun.

Ada waktu-waktunya, veto dilaksanakan. Amalan ini bukanlah demokrasi dan Amerika yang mempelopori kaedah ini tidak layak digelar sebagai pejuang demokrasi. Malaysia agak pelik dalam beberapa pendirian mereka mengenai demokrasi.

Demokrasi ketika berbuat baik, ketika jahat demokrasi tak diperlukan
Paling mudah kita katakan begini. Kalau mahu berbuat kebaikan, entah apa sebabnya kita (secara tepatnya, penguasa) selalu meminta pendapat khalayak sehinggakan, kalau orang-ramai tidak setuju dengan hal itu, maka usul yang baik itu tidak menjadi kenyataan.

Tapi, kalaulah dasar itu untuk kesenangan peribadi seperti urusan pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis melibatkan wang komisen jutaan ringgit, hal itu tidak dihebahkan sangat termasuklah kematian Altantuya yang juga tidak ingin dihebahkan.

Itulah antara contoh hal yang tidak baik, bersifat keuntungan peribadi yang tidak dihebah kepada orang-ramai untuk diambil pendapat semua. Jadi apakah pula contoh saranan baik yang penguasa mahu diambil pendapat semua pihak itu?

Contoh yang mudah dibincangkan ialah ketika mana Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sedang mengeluarkan soalan bancian berhubung pemakaian seragam wanita di sekolah yang disifatkan mereka sebagai mengundang 'jenayah seksual.'

Dalam coretan ini, barangkali tidak cukup muat untuk kita berbahas dan berdebat tentang apakah itu 'jenayah seksual'. Dan, saya bukan ahli fekah yang akan memperincikan aurat wanita menurut jalan fahaman aliran mazhab-mazhab yang empat.

Jangan kita menoleh soal pakaian seksi itu lagi. Serahkanlah semua itu kepada kumpulan-kumpulan liberal untuk menegakkan benang yang basah sehingga wujud kes-kes pelajar sekolah ditangkap basah akibat longgarnya kita dalam menitikberatkan hal pakaian ini.

Jangan kita bincang hal aurat lagi. Serahkan soal tudung litup, kain berbunga-bunga yang haram dipakai kerana dikhuatiri menimbulkan syahwat, pemakaian niqab dan sebagainya kepada agamawan kita yang sanggup berperang hujah dengan aliran liberal. Tidak sampai sebulan, isu itu akan dingin dengan sendirinya nanti.

Sebelum melangkah lebih jauh, kita ingin menjawab pertanyaan seseorang yang bertanya, kenapa kelihatannya Muslim yang taat beragama selalu memperhatikan hal remeh-temeh seperti pakaian? Mereka lazim bertanya, kenapakah tuan guru asyik bercerita hal pakaian wanita yang jika tidak dikawal akan menimbulkan 'ra' dan syahwat keterlaluan?

"Dah tak de benda lain ke yang ulamak korang nak cakapkan?" tanya mereka. "Come on, pakaian ni tak penting sangat la untuk diperbincangkan. Kita dah masuk abad IT!"

Kepada mereka ini yang kita perhatikan tidak liberal sangat pun, tapi mereka sangat suka menunjukkan kepada orang-ramai bahawa mereka ini liberal bertujuan menimbulkan rasa keangkuhan di hati mereka, kita ingin berkata begini:-

Pertamanya, pakaian itulah yang menunjukkan bahawa kita seorang manusia atau haiwan liar di hutan. Hatta Tarzan dan Mowgli yang popular di dalam riwayat karya Barat sekali pun mengenakan pakaian bagi membezakan antara mereka dan haiwan-haiwan liar itu.

Jadi, pakaian membezakan antara manusia dan binatang. Keduanya, bahasa membezakan antara manusia dan haiwan. Manusia itu berakal dan akal perlukan bahasa untuk bekerja, sama seperti anggota tubuh lain; kaki serta tangan perlu zat protein, karbohidrat daripada perut untuk bekerja sekali gus membekalkan tenaga ke seluruh badan.

Sebab itu, pemakaian yang tidak betul dan tidak tepat atau penggunaan bahasa yang tidak lurus melambangkan kekeliruan dan kecelaruan dalam pemikiran seseorang manusia.

Ada dua benteng setidak-tidaknya dalam masyarakat dalam urusan membina meluruskan kemanusiaan. Pertamanya, ulama atau secara tepatnya digelar agamawan. Keduanya para pejuang bahasa yang sentiasa menegur kesilapan penggunaan bahasa. Mereka sepatutnya diselamatkan oleh rakyat ketika diancam pemerintah dalam apa jua keadaan.

Empat pihak berwajib
Kembali kepada soal pakaian, setidak-tidaknya ada empat golongan banyak memainkan peranan dalam isu ini. Pertamanya, pihak PKPIM sebagai golongan pendesak. Keduanya, pihak pemerintah. Ketiga, ulama? dan aktivis Muslim dan keempat adalah aliran liberal.

Saya percaya, kira-kira 25 juta rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa kes rogol, dan zina akan terus berlaku hatta selepas pemakaian seragam yang betul dalam kalangan pelajar wanita diputuskan oleh Kementerian Pelajaran. (Itu pun jika kementerian setuju.)

Ramai yang berpendapat bahawa banyak kes yang menyebabkan kes rogol, zina atau pun jenayah seksual. Antaranya adegan lucah menerusi YouTube, webcam yang dapat dicapai melalui Yahoo Messenger dan lain-lain lagi. Ada khidmat yang mengenakan caj melalui kad kredit dan sebagainya. Kalau mahu dihimpunkan semua, tidak tertulis semuanya.

Sekarang, antara empat golongan ini, kita tolak ketepi dahulu pandangan aktivis Muslim yang menyokong PKPIM dan ketepikan dahulu pendapat yang mencemuh daripada aliran liberal ke atas persatuan pelajar Islam ini. Yang tinggal kini hanya dua golongan sahaja.

Iaitu, golongan pemerintah dan PKPIM sahaja. Saya percaya bahawa ramai pihak sudah tahu bahawa dalam suatu tinjauan yang dilakukan menerusi Buletin Utama, TV3 dahulu, kira-kira 73 peratus dalam kalangan penonton memilih menyokong pendapat menyatakan bahawa pemakaian seragam sekolah wanita itu antara penyumbang jenayah seksual.

Memang betul, pandangan ini pun boleh dipertikaikan. Kita boleh kata begini, anak-anak remaja bukan suka sangat tengok Buletin Utama, Berita Warta Perdana dan mereka tidak akan tergerak hati untuk mengundi dalam tinjauan sms itu. Remaja cuma minat mengundi calon AF, Gangstarz dan sebagainya. Kaum ibu bapa saja yang mengundi sms malam itu.

Jadi, pandangan itu bukanlah pandangan yang mewakili keseluruhan khalayak. Tapi, kita kena ingat bahawa itulah undian orang yang bijak, prihatin dengan hal sosial remaja kini, peduli tentang nasib anak-anak remaja mereka. Mereka mengundi dengan harapan supaya kerajaan dapat berbuat sesuatu demi menyelamatkan jiwa remaja yang kian merosot.

Pandangan manusia bukanlah pendapat Tuhan. Ia boleh jadi betul atau salah. Pandangan PKPIM dan pandangan kerajaan mungkin betul dan salah. Tapi, pendapat yang betul dan salah janganlah hendaknya dijadikan ukuran sangat dalam hal membuat dasar terbaru ini.

Atau, dalam makna lain, kerajaan janganlah menunggu sangat sehingga dibentang kajian yang teliti dan dipunggah fakta dan data dalam hal dan urusan yang baik. Kalau hal yang jahat seperti membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum dan urusan pembelian kapal selam itu cepat sangat buat keputusan tanpa perlu tinjauan sms pun.

Berfikirlah secara mudah. PKPIM adalah pelajar Islam dan kini mereka sedang berdepan dengan kerajaan Islam (secara tepatnya Islam Hadhari). PKPIM bukan berdepan dengan kerajaan yang berfikiran liberal atau kerajaan Islam Liberal. Jadi, mudahkanlah urusan.

Bukanlah susah sangat kerajaan Malaysia mahu membuat keputusan dalam hal ini. Kita bukannya ada kerajaan liberal. Sepatutnya tidak susah sangat untuk menerima pandangan PKPIM itu walaupun ada kecacatan pada pandangan mereka.

"Budak-budaklah katakan," anda sebagai penguasa boleh berkata begini dan hal itu tiada salahnya. Orang tua juga pernah membuat kesilapan. Kalau tidak, masakan Mahathir rasa menyesal melantik Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya?

Dalam tulisan ini tidak perlu lagi saya menjawab tohmahan, kritikan aliran liberal kerana hal itu kita serahkan kepada aliran aktivis Muslim dan aktivis liberal yang akan bergaduh darihal apa sahaja. Yang paling penting ialah, keputusan itu terletak di tangan kerajaan.

Oleh kerana kerajaan memegang falsafah Islam Hadhari ajaran Abdullah dan ia tak jauh sangat menyimpang daripada ajaran Islam yang dibawa Muhammad bin Abdullah, (kalau menyimpang pun cuma 180 darjah sahaja daripada segi tafsiran dan tindakan) maka dapat kita berikan berikan contoh perumpamaan begini.

Lihat Malaysia sebagai sebuah bahtera yang besar dan sedang belayar di samudera yang luas menuju ke sebuah pulau perhentian akhirat. Pemimpin itulah adalah nakhodanya dan rakyatnya pelbagai kaum, agama dan kepercayaan seperti Islam, Kristian, Buddha, Ateis, Hindu, Liberal, Atheis, dan aliran mazhab baru, iaitu Hadhari dan sebagainya lagi.

Dalam menuju pulau itu, ada kalangan rakyat yang berbuat dosa dan setiap dosa itu telah menebuk lubang-lubang kecil di bahtera tersebut. Ini dosa-dosa kecil. Ada juga rakan dan kroni nakhoda yang telah menebuk lubang besar seperti membeli kapal selam agar boleh dimasukkan dalam bahtera itu. Tentulah bahtera itu terbeban apatah lagi hal menanggung kapal selam itu terkait dengan pembunuhan Altantuya. Ini dosa besar. Lubang lagi besar.

Ada lagi kroni nakhoda yang seramai enam orang yang cuba menjahanamkan bantera itu dan dinamakan mereka sebagai '6 Jahanam' pula. Lagi besar lubang yang ditebuk mereka kerana melibatkan mesin dan jentera kehakiman. Pendek kata kipas pemusing dirosakkan oleh rakan-rakan nakhoda, layar kapal dirosakkan menantu nakhoda pula.

Sedangkan rakyat biasa cuma menebuk lubang-lubang kecil sahaja. Tetapi, dicelah-celah kekalutan itulah lahirnya anak-anak muda yang baru mengenal dunia dewasa dan mereka cuma bersuara untuk menyelamatkan keadaan dengan penuh kecacatan pendapat, (begitu pandangan liberal) dengan meminta ditutup lubang kecil akibat dosa manusia kerdil.

Sesungguhnya zina dan rogol bagaikan lubang-lubang kecil ini tetap akan berlaku sampai bila-bila pun dan pelajar kerdil ini cuma beraksi sebagai pemantau keadaan, memberitahu di mana ada tempat kebocoran, iaitu di sekolah-sekolah tempat pelajar-pelajar sepatutnya menggali ilmu mendulang pengetahuan.

Tempat di mana sepatutnya berkembang budaya Iqra' sebagai wahyu pertama yang turun kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, maka di tempat itulah juga, sekolah yang dilihat sebagai tempat menyuburkan budaya Iqra' telah dicemari.

Perguruan Islam bermula dari madrasah pemikiran Rasulullah s.a.w yang pertama di Gua Hira' akhirnya diubah ke rumah Arqam bin Abi Arqam. Saat inilah madrasah pemikiran Rasulullah mula tersebar tanpa sedikit pun tertebuk lubang di dinding madrasah itu.

Sememangnya, jika kerajaan mengiyakan dan menyegerakan urusan pemakaian menutup aurat sekali pun, masalah sosial tetap akan berlaku. Tapi, salahkah jika kerajaan berusaha juga menutup lubang-lubang kecil ini jika tidak dapat menutup lubang besar yang pernah ditebuk sejak sekian lama oleh 'Kepala 6 Jahanam' itu?

Siapa 'kepala 6 Jahanam'? Jawapannya, semaklah siapakah Menteri Pelajaran sekitar 70-an yang telah mengusahakan penubuhan Auku yang terus kekal wujud sehingga kini dan semoga tidak bertahan ia buat selama-lamanya.

Selepas penyata Rahman Talib dan Penyata Razak, maka Menteri Pelajaran sekitar 1970-an itulah yang perlu banyak memikul tanggungjawab membersihkan segala lompang dan semua lubang yang kian banyak ditebuk olehnya kini dan mungkin buat selama-lamanya.

Barangkali, agak sulit pelajar Islam mahu memperjuangkan hal pakaian seragam sekolah ini kepada kerajaan Islam Hadhari. Islam hari ini terpisah dua seperti 'United Kingdom' (Kesatuan Kerajaan) dan 'United States' (Kesatuan Negara).

UK dan USA biar pun sama warna kulit dan sama keturunan, tapi berbeza faham politik. Sebuah negara republik dan sebuah lagi masih mengamalkan pemerintahan beraja. Islam datang dengan khalifah (government) dan dipertalikan hubungannya dengan bumi (state).

Demikianlah tanahair kita ini. Memang benar ia adalah Negara Islam daripada suatu segi. Tapi, ingatlah Negara Islam (state) kini ditadbir Kerajaan Islam Hadhari (government). Ia sememangnya kelihatan seakan-akan serupa, tetapi tetap tidak sama.

Tapi, tiada salahnya kalau PKPIM mahu mencuba. Selamat berjaya! Bak kata al-Fansuri, berakitlah ke hulu, berenanglah ke tepian. Bersakitlah melawan hujah dahulu, nanti akan senanglah kemudian. Kepada adik-adik muda remaja yang dibuai leka, jangan dibiarkan lubang ditebuk tupai dahulu, kelak meranalah hidup kemudian..
Kepada Kerajaan Islam Hadhari, tunggu apa lagi? Hadhari.. Hadhari.. Ayuh! Ayuh!

Sekolah Pemikiran Jalan Pahang Barat
9:12 malam, 3 Jun 2008

Currently have 0 comments: