Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Abdullah tidak 'berwuduk sebelum beribadah'?

Saturday, November 24, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 12:42 PM

Oleh Ali Bukhari Amir
Apabila rakyat membela kebenaran, memastikan pilihan raya benar-benar bersih, suci daripada najis mughallazah, mukhaffafah dan mutawassitah, Abdullah Ahmad Badawi melalui ucapan penggulungannya di dalam Perhimpunan Agung Umno telah membentak pentas tempat dia berpidato: "Saya pantang dicabar!"

Sebagai cucu mufti dan waris ulama tersohor tanahair yang mencadangkan tarikh kemerdekaan negara kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Abdullah harus faham bahawa pilihan raya adalah suatu ibadat. Seperti mana kita mahu bersolat, bab awal diajar dalam kitab fiqah oleh mana-mana mazhab sekali pun, akan meletakkan bab pertamanya sebagai at-Toharah!

Jangan kata solat, malah setiap kanak-kanak lelaki Muslim perlu bersunat sebelum mereka dibenarkan berada dalam saf dewasa dalam solat jemaah. Semua ini terkait dengan kebersihan sebagai satu kefardhuan dalam meniti hidup beribadat.
Penyucian
Erti toharah adalah penyucian. Kitab fiqah as-Shafie al-Umm (Induk), yang terkandung padanya tatacara penyucian turut menyentuh hal yang sama di bab permulaannya. Kalau di dalam kitab tasawwuf pula seperti Ihya' Ulumuddin (Imam al-Ghazali) yang mementingkan penyucian rohani dan jiwa, turut dimuatkan perihal taubat.

Apakah persamaan antara at-toharah dan at-taubah? Apa pula beza antara kedua-duanya? Persamaannya, kedua-duanya bertujuan penyucian dan pembersihan. Bezanya, at-toharah merujuk penyucian anggota tubuh luaran atau jasad. Taubat adalah merujuk penyucian roh, jiwa untuk melangkah menuju Allah dan menuju kesempurnaan ibadat.

Imam Muhammad bin Idris, gelarannya as-Shafie, adalah ilmuan fiqah, sementara Imam Abu Hamid termasyhur namanya sebagai al-Ghazali adalah ilmuan sufi. Ilmu fiqh dan sufi, kedua-duanya menuntut penyucian, pembersihan roh dan jasad.

Sekarang, rakyat bertanya - apakah Abdullah masih mahu teruskan pencariannya dalam menemukan sosok ilmuan seperti as-Shafie dan al-Ghazali seperti mana yang tergambar dalam puisi 'Aku Mencari Damai Abadi' yang sering dilagu-lagukan di tetuang udara (radio) itu? - "Aku cari di mana as-Shafie, aku cari di mana al-Ghazali," demikian Abdullah berdeklamasi.

Tiba-tiba, apabila rakyat menuntut penyucian pilihan raya serta pembersihan buku pendaftaran daripada pengundi hantu, dan mahu bersihkan selut lumpur yang tercalit di wajah SPR, Abdullah bertempik: "Saya pantang dicabar!" ... Apa kes?

Siapa cabar Abdullah? Tiada siapa pun yang berniat mencabar Abdullah selama ini. Saja-saja dia perasan sorang-sorang diri. Mungkin beliau takutkan kepada bayang-bayang sendiri. Kalau Abdullah tak percaya, cuba tanya kepada sesiapa saja yang datang tempoh hari, "awat depa memang nak cabar Abdullahkah? Mana ada?"

Mereka sebenarnya menuntut pilihan raya bersih, yang adil dan saksama. Jika dalam pilihan raya itu BA kalah, kalahlah. Mereka kalah secara bersih. Jika BN menang, menanglah. BN menang pun secara bersih. Semua pihak yang berseteru akan berpuas hati dengan kemenangan dan kekalahan, asalkan kemenangan dan kekalahan itu berlaku secara bersih.

Ertinya, ibadat dalam memilih kepimpinan itu berjalan dengan sempurna. Yang tidak puas di hati rakyat ialah memerintah di dalam keadaan tidak bersih kerana pilihan raya berselut najis khinzir, dan mereka bagaikan melihat secalit najis di kaki imam ketika beliau sedang mengimamkan solat.

Bak pepatah Fansuri - kerana tahi cicak secalit, rosak solat jemaah semasjid (apatah lagi kalau solat Jumaat).

Kalau imam BN bersih, apa salahnya dia memimpin? Demikianlah sebaliknya dengan BA. Kita pun percaya, ramai ahli Umno yang cintakan kebenaran ingin menyertai perhimpunan Bersih itu, tapi kalau dapat ditangkap, nahas mereka nanti.

Tiba-tiba Abdullah bertempik: "Saya pantang dicabar!" ... Apa kes beliau berkata demikian?

Mungkin juga Abdullah berkata demikian kerana dalam lubuk nalurinya yang paling dasar berbisik, "Aku pun tahu aku ini tidak bersih. Mereka berhimpun kerana inginkan pilihan raya bersih. Sebab, aku naik memerintah di dalam keadaan tidak bersihlah, maka rakyat mula memberontak!"

Dorong hati
Sebenarnya, Abdullah naik pada kali pertama secara bersih kerana Allah telah mendorong hati Mahathir untuk memilih beliau. Kalau bertempur secara tidak bersih melalui debat seperti Umno Baru (Mahathir) vs. Semangat 46 (Ku Li) tentulah dia kalah. Kejatuhan S46 adalah buktinya. Jadi, kenaikan pertama Abdullah bersih, kerana Allah mendorong hati Mahathir memilihnya. Kenaikan kedua Abdullah adalah melalui pilihan raya Mac 2004. Di sinilah Abdullah naik secara tidak bersih.

Ketika itu, saya adalah wartawan pelatih di Bernama antara Mac sehingga Mei 2004. Saya masih ingat pejabat pagi itu lengang. Editor dalam taklimatnya berkata, "Sikit hari lagi, riuhlah pejabat ni. Semua wartawan sudah keluar membuat liputan di tempat masing-masing."

Apabila wartawan pulang, riuh satu pejabat oleh kalangan wartawan sendiri tentang masalah di tempat mereka membuat liputan. Jika mahu cerita di sini panjanglah hikayat dan riwayatnya. Pendek kata memang kotor! Bantahan demi bantahan melalui faks kerap menghinggap di bilik berita, "beberapa buah peti undi dijumpai tersorok dalam semak ..." dan lainnya.

Pertanyaan demi pertanyaan menyinggah dari bibir ke bibir oleh wartawan-wartawan perempuan yang gemar bergosip darihal kehancuran pilihan raya yang sedang mereka taip sebagai santapan akademik oleh rakyat Malaysia seluruhnya!

Ketika berbual dengan editor pada satu petang sambil minum teh tarik, saya tawarkan diri untuk siasat fenomena ini. Kata editor, "Awak nak bagi peluru untuk pembangkang serang kita pula?"

Selesai pilihan raya, Abdullah mengucapkan kalimah wallahi wabillahi watallahi untuk melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri. Setelah diajukan pertanyaan oleh wartawan, apakah beliau ingin tubuhkan suruhanjaya siasatan ke atas pilihan raya yang difatwakan para pembangkang sebagai bermasalah ini, Abdullah berkata: "Tidak perlu, saya ingin meneruskan tumpuan kepada kerja." Kenapa beliau enggan? Di sini pun jelas bahawa beliau enggan membersihkan pilihan raya!

Jadi, inilah kesilapan Abdullah yang pertama apabila beliau mula-mula menjawat Perdana Menteri di dalam keadaan tidak "berwuduk" secara sempurna sebelum beribadat dalam pilihan raya sebagai imam hadhari di Malaysia ini. Bukan saja tak menyempurnakan wuduk pilihan raya, malah bertaubat, beristighfar pun tidak juga. Jadi, Allah murka dengan Abdullah.

Murka Allah
Hanya Abdullah yang tidak perasan. Kemurkaan Allah terpancar pada kemurkaan rakyat. Ibarat keredhaan Allah ke atas seorang anak terletak atas keredhaan ibu bapanya, demikian menurut suatu hadis. Kemurkaan, kegembiraan rakyat tidak terletak atas kemurkaan, kegembiraan para perwakilan Umno di perhimpunan di PWTC. Ini yang Abdullah harus faham.

Saya menulis begini, supaya Abdullah segera kembali ke jalan Allah sebelum terlambat. Makmum datang memberikan panduan dan menghantar isyarat kepada Abdullah sebagai imam sebenarnya jika beliau benar-benar ingin faham. Bukan menentang dan mahu mencabar Abdullah.

Jika Abdullah menonton filem 1957 Hati Malaya nescaya beliau tersua dengan dialog Abdullah Fahim yang mencadangkan tarikh kemerdekaan. Tetapi, setelah itu, Syeikh Abdullah Pak Him menamatkan perbualan dengan kata-kata lebih kurang: "Kalau kita dah merdeka nanti, jangan pula kita menindas ..." Inilah pesanan datuk beliau sendiri.

Siapa Abdullah di hati rakyat? Tiada apa-apa sebenarnya. Beliau seperti namanya, Abdullah cuma hamba Allah. Itu saja. Hati Abdullah kian dirosakkan oleh tepukan, gurauan makmum Umno dan Pengerusi Tetap yang mendefinisikan P-A-K-L-A-H sebagai gabungan ayat yang boleh direka oleh sesiapa pun sebenarnya. Itu saja. Manusia 'kan pandai mereka-reka?

Jikalau begitu, maknanya benarlah Abdullah berada dalam kebatilan. Rakyat berniat mahu pilihan raya yang bersih. Tiba-tiba beliau berkata, jangan cabar say ... saya ini pantang dicabar. Ertinya, Abdullah menegakkan kebatilan, bukan kebenaran. Kalau Abdullah ikhlas, maka beliau menerima saranan khalayak itu dengan redha, bersikap pemaaf dengan santun yang tinggi seperti Abdullah Fahim juga adanya, datuknya itulah. Siapa lagi? Wallahu 'Alam ...

Currently have 0 comments: