Antara Puasa Ramadhan dan Tsunami
5:42 p.m, 17 September
Panas nasi bubur lambuk yang baru diambilnya sebentar tadi dari Masjid Jamek Kg Baru mengejek keimanan dan menjentik ketaqwaan seorang anak muda bernama Fansuri. Dia baru saja pulang dari kampung halaman kerana menguruskan hal kunci pendua motornya yang hilang. Jadi, kini dia baru tiba ke bilik sewanya dan mahu menggodam tulisannya.
Beberapa minggu lalu dia terpaksa menapak ke pejabat. Kini dia berharap masalahnya itu akan selesai. Pun begitu, Ramadan kali ini merupakan satu-satunya Ramadhan yang amat menakutkannya. Entah kepada siapa Fansuri mahu berbicara darihal ketakutannya itu.
Pak Leh Bilal di Kampung Baru telah sibuk melayani khalayak yang berkunjungan untuk mengambil bubur lambuk. Manalah dia punya waktu lagi hendak bergebang panjang dan ‘sembang kemaih dan deraih’ darihal politik semasa, kes Nawaz Shariff, Arroyo dan juga Altantuya. Kalau tidak, Fansurilah menjadi wadah tempat takungan sembang deraihnya.
Fansuri memang pernah cerita darihal mimpinya kepada Pak Leh, mimpi Tsunami …
Pagi 1 Ramadhan lalu, Fansuri telah mimpi hal yang mendebarkan hatinya. Suara hatinya berbisik, bahawa sosok tua yang terjelma dalam mimpinya itu adalah arwah ustaz Nikmat Yusof, Dehrang dan ada suara aneh memberitahunya tentang bencana pada 1 Ramadhan.
Wanita itu berkata: “Tunggulah 1 Ramadhan, nanti tahulah bencana apa akan terjadi …”
Fansuri melihat ada awan mendung suram berarak perlahan, ada riak laut yang berombak tenang dan sesekali menampar sebuah dermaga usang yang jauh sedikit dari gigi pantai. Nun di sana ada teratak usang menunggu masa menyembah bumi. Entah milik siapa.
Dia lalu terjaga dan berasa susah hati. Lalu dia teringat kisah beberapa bulan lalu di mana seorang lelaki tua memberitahunya sebuah cerita yang menyayatkan hati tentang tsunami.
“Ada enam buah negeri utara semenanjung yang akan dilanggar tsunami. Serambi Mekah akan terjejas teruk. Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu.
“Ada satu cara nak menolak semua itu melalui amalan kerohanian. Minta orang Serambi Mekah baca al-Fatihah 44 kali, sebanyak 3 kali Jumaat,” demikian kata seorang lelaki tua dari Kelang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk menyampaikan amalan itu.
Tapi kenapa Serambi Mekah yang terkena teruk? Fansuri tertanya sendirian. Lelaki tua itu seakan memahami suara hati Fansuri.
“Kiamat dah dekat. Dia tak mahu orang Serambi Mekah lihat kiamat yang dahsyat. Dulu diambil roh orang di Serambi Mekah, Indonesia. Kini, giliran kita pula,” tambahnya lagi.
Demikianlah antara bualan yang sempat dia ingat. Sebenarnya, ada banyak lagi pesanan tentang peranan khalifah untuk memelihara alam ini. Tapi, maklumat mengenai tsunami itulah yang paling banyak mengganggu fikirannya sepanjang Ramadhan ini.
“Tsunami sekali lagi? Hang bohong apa?” jerkah Pak Leh Bilal sambil tergelak berguling di atas lantai. Di situ Fansuri jadi malu. Semua mata terpahat dan terpaku kepada gelagat Pak Leh itu.
Sebenarnya Pak Leh sengaja sembang deraih dan buat aksi guling begitu kerana dia mahu mengorat dan menarik perhatian Mak Minah janda beranak lima, tuan punya warung kopi di situ. Bukan semua orang tak tau. Saja ja, Pak Leh dok buat gelagat lagu tu …
“Aku ada satu cerita,” kata Pak Leh setelah ketawanya mula kendur ledakannya. “Dulu ni ada sorang tua yang selalu pesan pada sorang budak bahawa hari ni hujan lebat. Memang betul hujan lebat. Dah tiga hari lelaki tua ni berulang-alik dan pesan benda yang sama dan memang betul-betul hujan lebat.”
Tambah Pak Leh, budak itu mula menyangka bahawa orang tua ini memang wali. Akhir-akhir ini memang hujan, demikianlah budak itu cuba meyakinkan orang-ramai bahawa orang tua itu memang wali yang terus mata dan mampu meramal cuaca.
“Dah tu, apa masalahnya? Dia tau dari mana?” tanya Fansuri.
“Rupa-rupanya, lelaki itu memang ada pasang radio kat rumah dia. Jadi, dia taulah cuaca hari ni, esok hujan ka tak hujan. Yang hang dok takjub sangat pada lelaki tua di Kelang tu pasai apa?” kata Pak Leh lagi.
Kata Pak Leh lagi, entah orang tua itu mendengar cerita darihal tsunami yang melanggar enam buah negeri utara semenanjung termasuk Serambi Mekah itu daripada internet kot?
Jadi, apa nak dihairankan sangat dengan khabar derita dari lelaki tua berkenaan?
Fansuri terdiam. Betapalah baghalnya Pak Leh ini tidak terhitung lagi. Seahmak-ahmak si keldai, masih lagi Tuhan ‘memuliakan’ sang keldai itu dalam al-Quran. Tuhan masih lagi buat perumpamaan-bagai seekor keldai yang mengusung ribuan kitab di atas belakangnya lalu keldai itu berhujah bahawa dia seorang yang pandai.
Tapi, Pak Leh ni tak dapat membezakan antara ‘berita’ dan ‘sumber berita’. ‘Berita’ yang menyatakan hujan lebat adalah betul. ‘Sumber berita’ itu adalah betul pula. Jasad laki tua yang menyebutkan bahawa tsunami akan berlaku, betul-betul wujud dan bukan mimpi.
Jadi, kalau dah betul ‘berita’ itu, kenapa ada masalah dan digelakkan ‘sumber berita’? Di dalam kes tsunami yang akan datang nanti, kalau lelaki tua itu wujud dan kalau betul pun dia dengar ramalan tu dari internet sekali pun, ertinya khabar itu benarlah. Bukan bohong.
Tapi, ada satu lagi sahabat Fansuri yang kemukakan hujah yang agak best sikit. Katanya, amalan kerohanian menolak kemaraan tsunami itu wujud unsur bid’ah di dalamnya.
“Amalan tu hadis mana? Habaq mai sat,” kata Saad yang macam dalam fekahnya. Pernah dia ‘berfatwa’ – gambar wanita tidak bertudung bukanlah aurat. Sebab, ia adalah gambar. Jika sosok ‘wanita hidup’ tak menutup aurat itu barulah kita kata dia tidak menutup aurat.
Lalu Fansuri tempelak dia, “Habis tu kalau gambar berbogel di dalam majalah Playboy tu kita nak kira lagu mana? Bukan aurat kot?” Saad diam begitu saja. Kali ini Fansuri berasa ingin mencuba dan menduga fekahnya sekali lagi berhubung isu bid’ah itu.
“Abih tu, dalam PRU dapat sms – Tuan Guru minta baca al-Ikhlas dalam jumlah tertentu sementara tunggu SPR kira undi. Saja nak tanya, zaman Rasulullah ada PRU ke? Amalan tu kita nak sebut bid’ah jugak ke?”
Saad terdiam sekejap lalu dia berhujah seperti agamawan yang terlajak ‘berfatwa’ tentang wuduk dan bulu Rom (sebenarnya bulu roma), kononnya ia sejenis bulu di dalam syurga.
Apabila si murid bertanya, apa kaitannya hal mengambil wuduk dengan bulu dari syurga, lalu guru yang ingin menutup kelemahannya berkata: “Siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya…”
Sebab itu Fansuri ketawa berdekah dalam hatinya apabila Saad menjawab mudah bahawa amalan al-Ikhlas ketika SPR sedang mengira undi itu tidak dikira sebagai bid’ah, lantaran hal itu datang daripada sosok agamawan berilmu tinggi.
“Yang tu tak pa. Itu datang dari orang berilmu,” kata Saad mempertahan kebenarannya.
Iyalah, zaman Rasulullah mana ada pilihan raya? Jadi bila masa pula nabi minta sahabat membaca al-Ikhlas ketika SPR kira undi dalam PRU? Sengajalah Fansuri mengusik Saad.
Sebenarnya, Fansuri tahu amalan itu adalah sunnah sebab al-Ikhlas itu amalan Rasulullah juga. Tapi fahaman sempit Saad ini menyebabkan orang melihat Islam sebagai usang, tak relevan dan tidak dinamik. Ilmu kerohanian sentiasa berkembang merentasi masa, zaman. Bukan ijtihad fekah oleh mufti sahaja. Hal ini yang Saad tidak tahu atau kurang nampak.
Ah! melalut pula jalan fikiran Fansuri. Tadi berceritera darihal tsunami, tapi meleret-leret kepada hal pilihanraya dan bid’ah pula. Biar Fansuri bunuh jalan fikiran ini dahulu. Yang penting sekarang, ialah bagaimana mahu dedahkan hal tsunami agar Pak Lah bertindak?
Koridor Utara tajaan Pak Lah dan menantunya Khairy dan juak-juaknya itu membabitkan 4 buah negeri – Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak tentu terjejas lagi akibat dilanggar tsunami yang akan datang nanti.
Sengaja Pak Lah tak masukkan Kelantan dan Trengganu dalam rancangan Koridor Utara itu, takut jadi renyah dan susah.
Baru-baru ini Fansuri terbaca kenyataan Zulkifli Mohd Noor, seorang mangsa tsunami di Balik Pulau, Pulau Pinang. Zukifli berkata, dia tak menolak kemungkinan bahawa gempa bumi akan berlaku sekali lagi dan mencetuskan tsunami.
“Saya rasa macam tak mahu keluar rumah apabila dengar dan melihat di televisyen gempa bumi di Indonesia. Saya takut tsunami berlaku lagi dan ia mungkin lebih besar daripada dulu,” kata Zulkifli dalam Berita Harian di halaman 4, 17 September lalu.
Pak Leh terdiam seketika tatkala Fansuri menunjukkan keratan berita tersebut. Betulkah tsunami akan datang lagi? Dan kalau ia tiba, kedatangannya akan mengakibatkan bencana yang lebih besar? Pak Leh mula tergugat dan mula sedikit mahu percaya.
“Terpulang Pak Leh nak percaya atau tidak,” kata Fansuri, “Saya tak nak suruh percaya. Tapi, ini naluri orang yang di’tsunami’kan keadaan. Dia rasa akan tiba lagi tsunami besar. Saya buat liputan tsunami masa student. Saya interview depa untuk akhbar di ipt dulu.”
Dulu, saat dia di bangku kuliah USM, Fansuri pernah membuat liputan kejadian tsunami untuk Berita Kampus (BK); akhbar yang menjadi pernah sarang kemarahan TNC HEP.
Banyak keganjilan cerita tsunami ini. Fansuri tidak ingat nama kampung itu dengan jelas. Tapi, kawasan Balik Pulau juga. Yang dia masih ingat ialah sebuah sekolah agama rakyat yang sebaris dengan rumah nelayan di tepi laut. Aneh-semua rumah itu dilanggar tsunami tapi sekolah itu selamat.
Tidak jauh dari sekolah agama itu ada sebuah masjid. Masjid itu pun selamat, tetapi yang ada di tepiannya, seperti rumah-rumah lain yang berdekatan dengan masjid telah musnah ditelan ombak besar tsunami.
“Ombak itu abang memang tak dapat bayangkan tingginya. Ia setinggi gunung, saya lihat dari pantai inilah,” kata seorang lelaki dalam lingkungan 20-an kepada Fansuri tatkala dia menemuramah seorang anak nelayan di suatu petang, kira-kira dua hari selepas tsunami.
Tergerak di hati Fansuri bersembang dengannya kerana dilihatnya pemuda itu termenung lama merenung laut di petang itu. Jelas kelihatan, air mata anak muda tersebut tergenang berkaca disambar angin petang yang menderu dari laut damai setelah gelora semalam.
Rumah anak muda itu memang agak jauh dari pantai. Tetapi, yang dinamakan tsunami itu ia bukan insan berhati perut. Ia menjalar jauh, melanggar sebuah padang lapang melepasi pantai dan terus menghempap bumbung bahagian dapur rumah anak nelayan tadi.
“Rosak teruk bahagian dapur rumah saya. Jadi, cuba abang bayangkan bagaimana ombak dari pantai datang melintasi padang lapang yang luas dan terus diserangnya rumah saya?” kata anak muda tadi bersungguh-sungguh sambil berusaha membawa gambaran peristiwa hitam itu ke dalam pemikiran Fansuri yang lama berkarat dengan maksiat itu.
Marah, pedih hati dan kecewa bercampur baur dalam fikirannya. Fansuri memahami hal itu. Tambah memilukan ketika memikirkan bantuan dari segi wang pampasan yang lewat tiba kepada penduduk kampung.
Ketika Fansuri dan rakannya hadir di Dewan Orang Ramai tempat berhimpun mangsa itu menerima wang pampasan, elit-elit kampung pun berhimpun juga. YB berketurunan syed siap membahagikan wang pampasan yang diterimanya baru semalam. Selesai mengagih-agih wang ratusan ringgit, si YB pun bersandar di belakang sambil menghisap rokoknya.
Tidak kelihatan risau dan terpamer secalit perhatian dan kesungguhan untuk menajamkan perhatiannya bersungguh-sungguh ke atas nasib mereka. Atau, ini cuma sekadar rutin YB dan elit-elit kampung? Adakah mereka menolong cuma bermodalkan separuh hati?
Tak kelihatan pula YB duduk dalam khalayak ramai untuk bersembang-sembang tentang masalah mangsa melainkan kelihatan kepulan serta hembusan gumpalan asap kretek yang berbaris, menyinggah di hidungnya yang terlindung di sebalik tirai misai yang lebat itu.
“Tapi, Persiaran Gurney tu dalam dua tiga hari dah mula okey dah Pak Leh. Maklum saja tempat tu pelancong selalu datang berkunjung,” kata Fansuri. Pak Leh pun bukan tak tahu sikap pemerintah. Jika tempat tu melibatkan perkampungan Melayu dan tiada keuntungan komersial, manalah kerajaan negeri nak ambil peduli.
Malam dinihari semakin larut. Fansuri tak tahu nasib apakah yang akan menimpa dirinya dan masyarakat sekelilingnya. Dia bukan siapa-siapa. Hanyalah penulis jalanan pengemis berita dan cerita dari timbunan derita rakyat yang bertindan-tindanan lapisan kelas kasta.
Rezeki entah bagaimana. Entah-entah rezeki ada di hujung tanduk. Mujur juga ada bubur lambuk untuk mententeramkan perut. Si kantuk mula menyerang dan bersarang, mengalir dalam jiwa. Dia terasa ingin melabuhkan noktahnya di dermaga hikmah batinnya di sini...
Tuhan, namaku Burhan … saksikanlah bahawa aku telah cuba menyampaikan kesedaran dan segala apa-apa yang telah Kau sampaikan …
3:51 pagi, 19 September 2007.
Sekolah Pemikiran Kg. Baru.
Currently have 0 comments: