Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Diskriminasi kepartian masih berleluasa di kampus

Tuesday, June 19, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 4:23 AM

Sumber: Siasah, Bil. 51.
Oleh Ali Bukhari Amir

Ruang-ruang yang mewujudkan diskriminasi antara kepartian sentiasa saja hadir selagi mana wujudnya keadaan yang dinamakan sebagai politik kurang matang. Hal ini tentunya memenatkan apabila ia terjadi dalam kampus; tempat terhimpunnya segala cendekiawan.

Pentadbiran universiti yang memihak kepada parti pemerintah lazim menggunakan alasan kewangan universiti sebagai alat, mengapa perlunya kesetiaan pelajar diberi kepada parti pemerintah. Menurut mereka, oleh kerana segala dana pemberian kerajaan, justeru warga kampus perlulah memihak terhadap parti pemerintah yang membantu mereka selama ini.

Mungkin hal itulah yang berlaku ke atas 20 orang ahli Persatuan Mahasiswa Islam dari Universiti Putra Malaysia baru-baru ini. Mereka mendapat maklumat iaitu penempatan di kolej pada semester depan ditarik semula. Kes ini disyaki terkait dengan diskriminasi.

Kalau andaian ini benar, maka antara cabaran dalam kampus kini bukan lagi diskriminasi perkauman, tapi diskriminasi kepartian. Malah hal titik bengik mengenai kepartian adalah antara kefardhuan ain yang diwacanakan universiti berbanding hal ehwal akademik.

Telah menjadi suatu kefahaman umum bahawa PMI di seluruh universiti adalah golongan yang memihak kepada PAS, sebagai suatu organ parti pembangkang yang terkuat negara. Hal ini menjadi kefahaman umum walaupun ada kalangan pimpinan PMI menafikannya.

Pada saya, saudara tidaklah perlu menafikan. Jangan sesekali bersikap ‘defensive’ atau mempertahankan diri. Letakkan kedudukan anda dalam keadaan ‘offensive’ iaitu sentiasa menyerang, menyiapkan pertahanan dan kukuhkan kekuda untuk menepis hujah HEP dan juak-juaknya dalam kalangan pengetua kolej.

Saya fikir, telah tiba masanya aktivis pelajar kembali beraksi dan mencabar cercaan pihak universiti yang sering melihat hubungan PMI=PAS sebagai suatu hubungan yang negatif. Sesekali anda perlu bertanya mereka kembali dengan nada sindiran mencabar.

- “Kalau iya pun pun kami sokong PAS, apalah masalahnya?”

- “Kami boleh mendapat kolej jika aktif dalam kegiatan persatuan berdasarkan merit dan jumlah markah terkumpul dan lainnya. Namun, setelah jumlah merit saya mencukupi dalam aktiviti kerohanian anjuran PMI, saya tetap disingkirkan. Kenapa? Huraikan …”

- “Tolong senaraikan 20 kesalahan kenapa kami tidak boleh sokong PAS.”

- “Tolong senaraikan 50 sebab kenapa pelajar tidak boleh menyokong parti politik.”

- “Kalau pelajar terlibat dengan parti politik, maka terganggu pelajaran. Atas sebab itu HEP menghukum dengan Auku agar mereka lebih fokuskan pelajaran. Huraikan …”


Demikian antara contoh soalan yang boleh saudara majukan mengikut kesesuaian isu-isu setempat di dalam kampus. Sesekali anda perlulah rakamkan kata-kata secara hitam putih bagi menunjukkan kesediaan anda dalam memperjuang hal yang saudara yakini benar.

Beri tugasan esei ini kepada TNC, pengetua kolej atau sesiapa saja yang mahu bertindak ke atas anda. Jangan lupa tinggalkan pesan, bahawa esei itu panjangnya tiada had. Ditaip kemas dengan double spacing, saiz ‘font’ 12 pt dan ‘font’ Times New Roman.

Soalan-soalan ini anda perlu buat ‘salinan kepada @ s.k’ serta kirimkan kepada Perdana Menteri, KPT, TV3, NTV7, ahli-ahli Parlimen dan maling list yahoogroups.

Dan, banyak lagi soalan yang boleh saudara majukan supaya mereka ini lelah menjawab. Titipkan pesanan kepada mereka, “Kalau pihak tuan belum berhasil menemukan jawapan semua ini, jangan harap kami patuh kepada Auku.”

Saya yakin mereka tidak boleh menjawab secara akademik. Ini kerana, Auku wujud tanpa suatu debat akademik yang menyeluruh. Auku wujud atas renungan tajam golongan yang beraja di mata bersultan di hati. Tidak ramai ahli akademik di’undang’ untuk membentuk ‘undang-undang’ Auku. Dari sini sahaja, kita boleh memahami kenapa Auku itu terbatal.

Saya yakin mereka tidak dapat berhujah secara akademik setelah saya memahami situasi salah seorang ahli PMIUPM yang tidak diizinkan menginap di kolej walhal, beliau sangat ternyata aktif dan layak menerima kolej berdasarkan merit terkumpulnya.

Salah seorang dalam kalangan pelajar itu telah berhujah bahawa mereka tidak sepatutnya dikeluarkan daripada senarai penerima penempatan di kolej. Beliau terus menunjuk buku laporan persatuannya yang berisi kegiatan aktiviti kerohanian anjuran PMI selama ini.

Melihat hal itu, pengetua kembali berhujah, bahawa tindakan mengeluarkan beliau adalah kerana beliau hanya menumpukan kepada aktiviti kerohanian semata-mata dan tidak pada aktiviti yang lain. Hujah ini sangat aneh.

Tidaklah pernah disebut atau tidak pernah kita dengar sebelum ini, bahawa ‘pembuangan’ ini berpunca daripada seseorang pelajar itu cuma menumpukan kepada hanya satu aktiviti persatuan saja. Sekali lagi, hal ini boleh dibangkitkan sebagai soalan tugasan mereka.

Tambah memenatkan apabila pengetua berhujah bahawa siswa ‘dibuang’ ini sebenarnya dengan tujuan memberi peluang kepada para pelajar warga asing untuk menginap di kolej itu. Jika pengetua memang bermaksud demikian, hal ini membawa pelbagai implikasi.

Antaranya, UPM tidak tersenarai sebagai universiti terkemuka di taraf dunia. Hanya dua buah universiti yang tersenarai dalam 200 IPT terbaik, UM dan USM. Apa yang kita tulis di sini bukanlah dengan niat mahu merendahkan institusi tersebut. Ini sekadar hujah.

Maka, adakah UPM menganggap kehadiran pelajar asing dalam kolej boleh menaikkan merit di peringkat dunia? Ini kerana, antara perkara yang diambilkira dalam pemarkahan IPT di Malaysia, ialah jumlah pelajar asing di IPT.

Rasanya, pemeriksa cuma mencatatkan jumlah pelajar warga asing di sesebuah universiti tanpa mengambilkira di mana pelajar itu tinggal, sama ada di kolej atau di luar kampus. Dalam kata lain, jikalau 100 pelajar warga asing tinggal di luar kampus sekali pun, hal itu tidak mengurangi merit pemarkahan. Yang pentingnya, ialah berapa ramai pelajar itu.

Implikasi kedua ialah, pemerhati luar akan terfikir mengenai kebenaran bidalan Melayu – kera di hutan di susukan, anak mati kelaparan. Dagang lalu dijamu, suami tidak dilayan. Ertinya, kita tidak mendahului atau tidak memahami keutamaan, awlawiyyat dan priority.

Kita haruslah fikir semula falsafah kita membina IPT dan membina kolej-kolej kediaman. Untuk siapakah semua ini? Untuk anak pribumi, warga sendiri atau warganegara asing?

Currently have 0 comments: